My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 22 December 2017

    Gaya Kompak Eropah


    Dikenali sebagai kereta kompak hatchback, Volkswagen Polo bukan sahaja mudah dan tangkas di bandar raya, malah sesuai untuk golongan muda yang mahukan kenderaan moden dengan karakter Eropah. 

    Mula menjengah pasaran tempatan pada 2010, model kompak ini menawarkan rekaan bergaya, tahap penggunaan bahan api efisien, ruang dalaman selesa dan fleksibel untuk pelbagai tujuan gaya hidup dengan kualiti buatan bertaraf global.

    Dikuasakan enjin petrol 1.6L MPI, Polo jelas lancar dan bertenaga dengan 105PS kuasa kuda manakala tork setinggi 153 Nm membolehkannya mencapai kelajuan maksimum sehingga 180 kilometer sejam (km/j).

    Sesuai untuk perjalanan jarak dekat atau jauh, kompak ini menawarkan penjimatan bahan api purata dengan catatan 6.3 liter untuk setiap 100 kilometer (km) selain dibantu kotak gear automatik enam kelajuan bersama Tiptronic.

    Stabil pada selekoh atau kelajuan tinggi, model ini menawarkan pemanduan dinamik dan mampu memecut dari kedudukan pegun sehingga 100 km/j dalam tempoh 11 saat. Melihat rekaan luaran, ia menampilkan ciri signatur Volkswagen seperti susun letak lampu dan gril hadapan, lampu kabus dan rim aloi 15 inci corak ‘Riverside’.

    Elemen krom, antena bumbung ‘Bee Sting’, cermin sisi elektrik boleh laras menjadi ciri standard Polo generasi kelima ini sejak mula diperkenalkan di pasaran global pada 1975.

    Meskipun berstatus kompak, bahagian dalamannya tampil elegan dengan material bermutu tinggi seperti tombol gear balutan kulit dan kemasan kerusi tempat duduk fabrik ‘Livon’ yang selesa untuk lima penumpang dewasa.

    Polo menyediakan ruang kargo sehingga 280 liter dengan kerusi penumpang boleh direbahkan untuk lebih muatan selain membawa pelbagai barangan panjang atau lebar. Stereng teleskopik balutan kulit dengan butang pelbagai fungsi memudahkan kawalan dan pemanduan bertambah selesa apabila model ini didatangkan dengan sistem pendingin hawa Climatronic termasuk corong pendingin hawa penumpang belakang.

    Sistem hiburan dan multimedia dikeluarkan melalui paparan skrin sesentuh lima inci dengan ketersambungan Bluetooth dan MirrorLink serta slot USB mampu menghiburkan setiap isi kenderaan.

    Paparan pelbagai fungsi pada panel meter memaparkan tahap bahan api, waktu, kedudukan gear secara digital dengan gabungan meter rpm dan kelajuan berciri analog memudahkan pemandu kekal fokus terhadap pemanduan.

    Tidak pernah berkompromi terhadap aspek keselamatan, model ini didatangkan dengan kawalan pelayaran (cruise), beg udara hadapan, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Bantuan Brek (BA), Sistem Respon Kemalangan Pintar (ICRS), ISOfix dan sensor parkir.

    Keseluruhannya, Volkswagen Polo antara kenderaan kompak hatchback yang ideal bagi mereka yang inginkan gaya hidup aktif selain sesuai untuk kegunaan urban atau perjalanan jarak jauh. Saiznya yang tidak terlalu besar memudahkan parkir terutama di lokasi sempit atau mengharungi kesesakan jalan raya.

    Model ini mula dipasang secara pemasangan tempatan (CKD) di Pekan, Pahang pada 2014 dan menjadi antara kenderaan paling laris bagi keluarga Volkswagen. Volkswagen Polo 1.6 Comfortline ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu merah, putih, kelabu dan perak dengan harga bermula RM69,888 termasuk lima tahun waranti dan bantuan di jalanan.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Gaya Kompak Eropah Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top