SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin memuji keberanian M. Kavishkumar yang sanggup mengeluarkan wang sendiri untuk menjalani siri percubaan bersama beberapa kelab Liga Jepun (J-League) sebelum menandatangani kontrak dengan pasukan Liga Prefektur Jepun (JPL), Tokai FC pada Jumaat lalu.
Kata Hamidin, kesungguhan serta sikap mahu keluar dari zon selesa itu seharusnya dijadikan contoh terbaik kepada pemain-pemain muda agar berani menyahut cabaran bermain di luar negara.
Menurutnya, beliau bersama peminat-peminat bola sepak tempatan sentiasa mendoakan kejayaan Kavishkumar yang lebih mesra disapa ‘Kumar’ bermain bersama kelab Jepun tersebut selain mengharapkan bekas produk Selangor PKNS dan Victoria Institution itu bakal mengharumkan nama negara di bumi Samurai Biru itu.
“Secara peribadi, saya memuji kesungguhan pemain ini (Kumar) yang sanggup bermain di luar negara. Tidak ramai pemain-pemain memiliki keberanian seperti itu. Saya berbangga masih ada pemain kita yang memiliki semangat untuk bermain di luar negara.
“Inilah satu semangat yang seharusnya dijadikan contoh terbaik kepada semua generasi muda. Umum kita mengetahui bahawa Jepun memiliki liga cukup kompetitif dan saya fikir dia memiliki peluang terbaik untuk mengembangkan potensinya memandangkan dia masih berusia 20 tahun.
“FAM sentiasa mengalu-alukan mana-mana pemain berhijrah ke luar negara dan saya fikir keberanian Kumar ini akan membuka pintu serta jalan kepada pemain-pemain lain.
“Doa saya bersama peminat-peminat adalah mahu menyaksikan Kumar berjaya di Nagoya nanti dan sudah pasti kami juga mengharapkan Kumar akan menjadi aset terbaik buat negara mahupun Tokai FC suatu hari nanti,” katanya ketika dihubungi semalam.
Media semalam melaporkan, ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee tidak menolak kemungkinan untuk memanggil Kumar menyertai skuad remaja jika dia dapat membuktikan potensi serta kekal konsisten bersama Tokai FC pada masa akan datang.
Kumar secara rasmi sah menyertai Tokai FC dengan mengikat perjanjian setahun bersama pasukan yang berpangkalan di Nagoya itu. Sejak Oktober lalu, Kumar terbang ke Jepun dengan menyertai siri percubaan dengan beberapa kelab J-League dan JPL antaranya Gamba Osaka dan Nara Club.
Gamba Osaka menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat bekas pemain Victoria Institution dan Selangor PKNS itu tetapi disebabkan beberapa halangan tertentu, kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat.
0 comments:
Post a Comment