Mahu buang jauh-jauh gelaran kasanova dan nakal seperti yang dilemparkan terhadapnya sebelum ini, itu tekad Tauke sebaik bergelar suami kepada Nadia Mohd Effendi, Sabtu lalu. Dalam nada bergurau, Tauke atau nama sebenarnya Zamratul Amri Zakaria, 41, berkata, dia bekas kasanova dan apa yang dilakukan sebelum ini bertujuan mencari keserasian.
“Sebenarnya saya suka berkawan dan terlebih peramah. Kadang-kadang sikap itu menimbulkan salah tanggapan. Tapi itu tidak bermakna saya nakal. Ia tak lebih untuk mengisi jiwa yang kosong. Apabila tidak serasi, saya tukar pasangan lain. Mungkin kerana itu orang cakap saya kasanova,” katanya.
Pasangan ini selamat diijabkabulkan pada jam 11.55 pagi dalam majlis di De’ Laman Event Space, Bukit Jelutong, Shah Alam. Pada sebelah malamnya, berlangsung majlis resepsi bertema ‘Fairy Tale’ yang dihadiri 500 tetamu terdiri daripada keluarga, kenalan rapat dan rakan artis.
Menurut Tauke, kesabaran Nadia melayan kerenahnya sepanjang enam tahun bercinta menjadi faktor utama yang membawa mereka ke gerbang perkahwinan. “Nadia seorang yang tabah dan kuat kerana sebelum ini tak ramai wanita tahan dengan saya. Apatah lagi dengan pelbagai gelaran tak elok dilemparkan terhadap saya.
“Pelbagai dugaan sudah dilalui dan ia menjadikan cinta kami semakin utuh,” katanya. Akuinya lagi, hubungan mereka diibaratkan seperti api dan air yang boleh bersatu. “Meskipun muda, Nadia sangat matang. Pengalaman lalu, saya nampak kegagalannya berpunca kerana masing-masing tidak mahu mengalah. Ibaratnya api bertemu api.
“Berbeza dengan Nadia kerana dia pandai memujuk apabila saya marah. Sekiranya dia marah, saya pula kena jadi air agar keadaan jadi cepat sejuk. Baru seimbang,” katanya. Ini perkahwinan keempat Tauke dan dia mempunyai enam anak berusia sembilan hingga 16 tahun. Seperti individu lain, Tauke mengharapkan perkahwinan kali ini berkekalan hingga akhir hayat.
“Syukur, majlis akad nikah berjalan lancar. Nadia kini sah bergelar isteri dan anugerah terindah saya. Soal anak kami tak merancang. Sekiranya Allah beri cepat, kami terima. Bulan madu pula mungkin tahun depan kerana saya kini terikat dengan penggambaran sitkom 50 episod untuk RTM,” katanya.
Sementara itu, Nadia mengakui terpikat dengan sikap Tauke yang matang dan mudah dibawa berbincang. “Tauke lelaki yang baik. Andai ada sebarang masalah kami akan berbincang dari hati ke hati dan selesai secara baik. Bagi saya, komunikasi penting selain perlu percaya antara satu sama lain,” katanya. Pasangan ini mengikat tali pertunangan di Terengganu pada Disember 2015.
0 comments:
Post a Comment