Kumar diuji positif kerana menggunakan bahan terlarang sibutramine (kategori bahan pelangsing) ketika beraksi pada Piala Asia di Dhaka, Oktober lalu. Berikutan kes itu, dia tidak dibenarkan bertanding dalam sebarang kejohanan hingga kes itu didengar FIH bulan depan.
Sekiranya rayuan penjaga gol berusia 38 tahun itu tidak berjaya, dia akan berdepan hukuman penggantungan hingga dua tahun. Maninderjit berkata, dua tahun jelas terlalu lama buat Kumar ketika kariernya sudah tiba ke penghujung sekali gus menyarankan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) supaya segera menyediakan tiga pelan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
“Tahun depan banyak kejohanan penting seperti Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Piala Dunia, sudah tentu ketiadaan Kumar perlu diatasi sebaik mungkin. Pada pendapat saya MHC perlu memasang tiga pelan iaitu yang pertama tanpa Kumar yang memilih bersara, kedua tanpa Kumar dua tahun dan ketiga Kumar hanya digantung setahun.
“Tapi pada pendapat saya dia akan mengumumkan persaraan sekiranya dikenakan hukuman penggantungan dua tahun. Bukannya mudah untuk seseorang atlet mahu kekalkan tahap kecergasan selain mengambil kira faktor usianya,” kata Maninderjit.
Justeru, bekas pertahanan negara itu percaya MHC tiada pilihan selain perlu menjadikan dua kejohanan pertama tahun depan - Piala Sultan Azlan Shah (Mac) dan Sukan Komanwel (April) sebagai platform untuk memberi pendedahan kepada penjaga gol Hafizuddin Othman dan Hairi Abdul Rahman.
“Kumar sememangnya tiada ganti, dia sudah meletakkan standard yang tinggi. Malah kita lihat salah satu kejayaan Malaysia kebelakangan ini disebabkan Kumar... itu realiti.
“Jadi, apa yang MHC perlu buat sekarang adalah perlu menguji dan memberi pendedahan kepada Hafizuddin dan Hairi dan selepas itu putuskan siapa penjaga gol terbaik untuk beraksi di Piala Asia dan Piala Dunia ketika nasib Kumar sudah diketahui ketika itu.”
Sukan Komanwel Gold Coast dan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh tidak menawarkan mata ranking dunia FIH. Malah, Maninderjit yang pernah menjadi Setiausaha Agung MHC menyamakan senario ketandusan pengganti Kumar yang menimpa MHC ini sama seperti usaha mencari pengganti kepada jaguh badminton nombor satu negara Datuk Lee Chong Wei.
“Perkara ini sudah empat atau lima tahun dibangkitkan apabila ramai yang tertanya-tanya siapakah pemain paling sesuai menggantikan tempat Kumar dan ia sama seperti isu selepas Chong Wei siapa pula penggantinya. Sepatutnya kita mencontohi Jerman yang membawa 12 pemain muda pada Pusingan Akhir Liga Hoki Dunia di Bhubaneswar, India baru-baru ini.”
0 comments:
Post a Comment