My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday 27 December 2017

    Spekulasi Punca Rugi RM31.5 Bilion

    Aktiviti spekulasi berlebihan telah menyebabkan Bank Negara Malaysia (BNM) mengalami kerugian urus niaga pertukaran asing berjumlah RM31.5 bilion pada era 1990-an. 

    Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang memetik laporan audit dalaman disediakan oleh juruaudit dalaman BNM bertarikh 21 Januari 1994 berkata, pembelian matang dan urus niaga pertukaran mata wang bulanan yang berjumlah purata RM140 bilion pada tahun 1992 telah meningkat kepada RM750 bilion pada tahun 1993.

    “Sebahagian besar urus niaga itu bersifat spekulatif dan tidak mencerminkan mandat BNM untuk mengekalkan keadaan teratur dalam pasaran pertukaran asing mengikut Seksyen 4 Ordinan Bank Negara Malaysia 1958,” katanya dalam surat terbuka beliau kepada bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad semalam.

    Johari berkata, laporan audit itu juga menekankan bahawa paras urus niaga spekulasi pertukaran asing dianggap sangat berlebihan memandangkan dana pemegang saham BNM hanya RM4.4 bilion dan rizab antarabangsa negara itu bernilai RM43.98 bilion pada masa itu.

    Laporan audit itu juga menyatakan bahawa aktiviti perdagangan pertukaran mata wang asing spekulatif yang dijalankan oleh bank pusat pada masa itu telah dilakukan oleh Bahagian Pertukaran Asing Jabatan Perbankan BNM, yang diketuai oleh Penasihat merangkap Pengurusnya, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, yang kemudiannya menjadi Menteri Kewangan Kedua.

    Menurut Johari, disebabkan kerugian itu, kerajaan dipaksa untuk memindahkan sahamnya di Telekom Malaysia Bhd. (TM) dan Tenaga Nasional Bhd. kepada BNM pada nilai nominal RM1 sesaham.

    Katanya, saham-saham itu telah dinilai semula oleh BNM pada RM22.10 setiap saham dan RM19.30 sesaham untuk TM dan TNB. Beliau menambah, di samping itu, BNM terpaksa melupuskan saham Malaysia Airlines kepada pihak ketiga pada harga RM8 sesaham dan saham MISC Bhd. (RM10 sesaham) kepada Kumpulan Wang Pencen untuk mendapatkan keuntungan.

    “Jika kerugian pertukaran asing spekulatif ini tidak nyata, kerajaan tidak akan mengambil tindakan drastik ini untuk menutup kerugian BNM pada masa itu,” katanya.

    Johari berkata, BNM dan negara telah berjaya mengambil pelbagai langkah penambahbaikan terutamanya melaksanakan pembaharuan serta langkah semak dan imbang yang perlu berkaitan aktiviti urus niaga hadapan pertukaran mata wang asing.

    “Hasilnya, ekonomi Malaysia terus kekal berdaya tahan dan BNM mampu melindungi kestabilan kewangan dan ekonomi negara.,” tegasnya. Setakat November 2017, rizab BNM meningkat kepada AS$101.9 bilion dan mampu menampung 7.5 bulan import.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Spekulasi Punca Rugi RM31.5 Bilion Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top