JUARA keirin dunia, Azizulhasni Awang gagal menebus kehampaan atas kegagalannya meraih emas Sabtu lalu apabila tewas dalam acara pecut individu lelaki pada Kejuaraan Berbasikal Asia (ACC) 2018 di Velodrom Nasional Malaysia di Nilai, Negeri Sembilan malam tadi.
Jaguh yang terkenal dengan jolokan The Pocket Rocketman itu gagal mengetepikan cabaran musuh ketatnya, Kazunari Watanabe dari Jepun dalam dua pusingan perlumbaan pada aksi final tersebut. Menurut Azizulhasni, dia akur dengan kekalahan tersebut, namun pada masa sama mengakui tidak mampu menewaskan musuhnya yang beraksi menggunakan gear basikal yang lebih besar.
“Saya sedikit hampa, namun tidak boleh melakukan apa-apa kerana Watanabe menggunakan gear basikal yang lebih besar. Saya pula tidak boleh menggunakan gear besar kerana saya tidak mahu tergesa-gesa ke arah itu.
“Bagaimanapun, dari segi taktikal, saya berpuas hati lebih-lebih lagi apabila berjaya memecahkan rekod Asia pada aksi kelayakan,” katanya ketika ditemui malam tadi.
Terdahulu, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu berjaya merekodkan catatan masa 9.774 saat untuk memadamkan rekod yang dipegang oleh Nitta Yudai (9.843s) yang dicipta pada Kejuaraan Berbasikal Piala Trek Asia tahun lalu.
Dalam perkembangan lain, skuad remaja negara akhirnya berjaya meraih satu pingat emas selepas Zulhelmi Zainal mengungguli acara kejar-mengejar remaja lelaki 3 kilometer pada sebelah malam. Zulhelmi berjaya menumpaskan Maxim Gridchin dari Kazakhstan dengan catatan masa 3 minit 24.985 saat.
0 comments:
Post a Comment