My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday 20 February 2018

    Diet 'Super' Lawan Kanser



    Makanan boleh menjadi penawar dan juga racun kepada kita tidak terkecuali buat pesakit kanser. Meskipun punca sebenar penyakit kanser masih belum dikenal pasti, karsinogen iaitu agen yang boleh mencetus pertumbuhan sel kanser dalam tisu hidup sudah diketahui. 

    Pengamal rawatan holistik dan pengkaji berpengalaman lebih 13 tahun dalam kajian mengenai makanan mahupun diet untuk pesakit kanser, Dr Yasmeen Farouk Mohamed berkata, dia membantu pesakit meneliti nutrien terbaik bagi meneruskan kelangsungan mereka tatkala menghadapi penyakit itu.

    Dia yang juga pengasas Kumpulan Sokongan Pesakit Kanser Dr Yasmeen ditubuhkan sejak 2010, memberi rundingan mengenai amalan gaya hidup sihat khusus membantu pesakit kanser termasuk ahli keluarga agar mendapat sokongan optimum melawan penyakit berkenaan.

    Katanya, gaya hidup masa kini yang terbuka dalam pengambilan makanan berproses jauh lebih pantas dan mudah disediakan secara tidak langsung memberi kesan buruk kepada tubuh kerana adanya penggunaan bahan kimia atau melalui proses kimia.

    Justeru Dr Yasmeen menekankan pentingnya kesedaran untuk kembali membudayakan pemilihan makanan semula jadi sebagai makanan harian yang setidak-tidaknya meningkatkan kualiti gaya hidup sihat.

    “Seperti tubuh orang normal, badan pesakit kanser mempunyai asid tinggi dan pola diet yang diperlukan ialah makanan beralkali bagi mengimbangi tubuh.

    “Cuma untuk pesakit kanser, mereka lebih berisiko mengalami komplikasi lain disebabkan sel antibodi badan rendah. Ia menyebabkan mereka lebih terdedah kepada ancaman penyakit atau partikel karsinogen yang bebas di persekitaran mahupun makanan bersifat karsinogenik.

    “Pesakit yang menyertai kumpulan sokongan kanser ini disarankan mengambil makanan yang kaya antioksida dan diet mereka dipantau dari semasa ke semasa. Bukan semua makanan boleh diakses oleh pesakit kanser kerana dalam keadaan tertentu contohnya makanan yang baik untuk pencegahan kanser seperti madu boleh mendatangkan kesan buruk kepada pesakit.

    “Berdasarkan kajian saya, makanan mengandungi unsur glukosa termasuk madu boleh merangsang perkembangan sel kanser. Glukosa menjadi makanan kepada sel kanser ini dan menyebabkan sel aktif lalu merebak.

    “Saya bukan menafikan kebaikan madu untuk tubuh seperti merawat luka dalaman, ulser perut dan sebagainya, tetapi bagi pesakit kanser madu boleh memberi implikasi buruk.

    “Dalam diet saya tekankan pengambilan makanan semula jadi atau ‘super’ yang mampu melawan sel kanser antaranya bawang putih, bawang besar dan bawang Bombay. Kalau bawang putih dan bawang besar lebih baik diambil mentah manakala bawang Bombay lebih sesuai dimasak.

    “Kita tahu bawang putih mempunyai aroma tengik tidak menyenangkan tetapi itu terhasil disebabkan komponen dipanggil allicin. Allicin ini memberi kriteria antibakteria, antivirus, antiradang dan antioksida yang menjadikan bawang putih makanan penawar penting buat pesakit kanser. Digalakkan pesakit mengunyah sekurang-kurangnya dua ulas setiap hari membantu membantutkan sel kanser. 

    “Selain itu minuman dan makanan membantu mempunyai sifat antiangiogenesis iaitu menghalang bekalan darah ke sel kanser seperti teh hijau dan kunyit juga boleh membantu membuang toksin. Sebagai contoh teh hijau mengandungi folifenol turut membantu melawan sel kanser.

    “Saya juga tekankan pengambilan air mencukupi yang sangat penting buat pesakit. Istilah air baik pada saya ialah air dimasak kerana ia mempunyai zat penting untuk membekalkan oksigen kepada tubuh. Air juga membantu menyingkirkan toksin dalam tubuh menerusi proses semula jadi.

    “Setiap 20 kilogram berat tubuh memerlukan sekurang-kurangnya satu liter air bagi membolehkan tubuh memperoleh sumber mencukupi. Bagi meningkatkan penyerapan usus, ambillah sayuran hijau setiap hari,” katanya.

    Kata Dr Yasmeen lagi, makanan tidak sesuai untuk pesakit semestinya produk makanan berproses atau segera selain yang tinggi kandungan gulanya. Sumber gula semula jadi buah-buahan lebih sesuai untuk pesakit kanser.

    Pakar Pemakanan Persatuan Kanser Kebangsaan Lim Chooing berkata, pihaknya sentiasa memberi panduan mengenai bentuk diet yang perlu diamalkan pesakit mengikut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) menerusi budaya Pinggan Sihat.

    “Pesakit kanser digalakkan untuk mengamalkan cara pemakanan yang sihat dan seimbang seperti kempen Pinggan Sihat (suku-suku-separuh). Ia bermaksud suku pinggan diisi dengan sumber bijian, suku pinggan untuk protein rendah lemak seperti ayam, ikan dan tofu serta separuh pinggan untuk sayur-sayuran dan buah-buahan.

    Khusus buat pesakit kanser digalakkan memperbanyakkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran kerana mempunyai nutrien tinggi. “Bagi pesakit kanser yang menjalani rawatan kanser, mereka digalakkan untuk makan makanan berprotein tinggi supaya boleh cepat sembuh selain mengekalkan sistem imun melawan penyakit,” katanya.

    Tambah Lim, ia bergantung pada keperluan dan tahap kesihatan pesakit ketika itu. Dia turut memberi panduan jenis makanan boleh diakses mengikut fasa tertentu.

    i. Sebelum pembedahan

    • Dalam fasa ini, pesakit kanser digalakkan untuk mengamalkan cara pemakanan yang sihat dan seimbang tanpa mengabaikan semua kumpulan makanan.
    • Bagaimanapun, mereka dinasihatkan mengehadkan pengambilan daging merah dan makanan yang diproses di samping meningkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran segar.

    ii. Selepas pembedahan

    • Pesakit biasanya dinasihatkan supaya makan makanan protein tinggi untuk menggalakkan penyembuhan luka.

    iii. Sebelum kemoterapi atau rawatan radiasi

    • Diet yang seimbang dan sihat adalah penting untuk mengoptimumkan nutrisi.

    iv. Selepas rawatan radiasi

    • Pengurusan pemakanan pada tahap ini biasanya untuk menangani pengurusan kesan sampingan.
    • Sekiranya pesakit mengalami sakit mulut, mulut kering atau hilang selera selepas rawatan, penjaga hendaklah mencipta resipi atau pengubahsuaian diet kepada pesakit untuk memastikan mereka makan dengan baik.

    # Pesakit kanser hendaklah mengelakkan daripada mengambil protein berproses seperti sosej, daging burger, nuget daging atau ayam dan makanan berjeruk.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Diet 'Super' Lawan Kanser Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top