JURULATIH badminton perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek membidas kegiatan dua pemain profesional kebangsaan yang didakwa terlibat dalam skandal mengatur perlawanan. Semalam, arena badminton tanah air digemparkan dengan laporan dua pemain profesional negara disiasat Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berhubung kegiatan tidak bermoral tersebut.
Meskipun ia tidak melibatkan pemain-pemain naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), namun Misbun yang juga legenda badminton tanah air menegaskan, perbuatan tersebut tidak boleh diterima sama sekali kerana mampu menjatuhkan maruah negara.
“Kalau inilah yang terjadi dalam badminton negara kita, saya rasa ia sesuatu yang amat memalukan. Apabila ia melibatkan pemain pada peringkat antarabangsa, secara tidak langsung ia seolah-olah menjual maruah negara.
“Sebenarnya, kita perlu tetapkan jiwa serta hati kerana kita bermain untuk perkara yang disukai. Jika benda seperti ini terjadi ketika membawa nama Malaysia, ia seperti menjual maruah negara dan saya cukup pantang dengan perkara seperti ini,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.
Dua pemain terlibat dilaporkan sudah digantung daripada menyertai sebarang kejohanan dan bakal menghadiri sesi perbicaraan yang akan berlangsung di Singapura hujung bulan ini.
Pada masa sama, beliau memberi amaran keras kepada pemain-pemain yang berada di bawah kendaliannya agar tidak terlibat dengan kegiatan seumpama itu memandangkan mereka membawa nama Malaysia di pentas dunia.
“Saya harap pemain-pemain yang berada di bawah jagaan saya tidak terlibat dengan skandal seperti ini. Sebenarnya, mereka tidak perlu diberitahu mengenai perkara ini kerana perlu sedar dengan sendiri mengenai keburukannya.
“Mereka juga perlu sedar bahawa mereka dibayar setiap bulan untuk bermain demi negara, bagi saya tidak ada sebarang kekurangan. Jika mereka tahu tanggungjawab sebenar, mereka tidak akan buat perkara ini,” tambahnya.
Dalam perkembangan lain, Misbun menggesa pemain-pemain negara yang akan menggalas misi penting pada Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, April depan agar bersedia serta tidak memandang remeh cabaran negara lain.
“Buat masa sekarang, tidak ada rombakan yang dilakukan terhadap skuad Sukan Komanwel walaupun kita sedar negara-negara lain sudah menunjukkan banyak peningkatan. Bagaimanapun, kita harus ambil iktibar serta berjaga-jaga dengan cabaran mereka.
“Bukan sahaja pemain-pemain ke Sukan Komanwel, malah pemain yang akan beraksi pada Piala Thomas dan Sukan Asia juga perlu sedar bahawa mereka memikul tanggungjawab yang cukup besar. Saya harap mereka tahu dan sentiasa berwaspada,” ujarnya.
0 comments:
Post a Comment