Mungkin bagi kelompok pemimpin ini, suasana Pilihan Raya Umum yang dulu di mana setiap kali tiba musim pilihan raya, jika kawasan berkenaan majoritinya adalah bendera Barisan Nasional, maka kerusi itu adalah hak milik mereka selamanya tanpa ada sesiapapun boleh mengganggu gugat atau mempertikaikannya. Ini pemikiran dahulu dan boleh dianggap sebagai kuno dan kolot.
Inilah yang berlaku terhadap kerusi panas Cameron Highlands yang kini menjadi rebutan antara MIC dan MyPPP. Dalam dua sidang media berlainan, Presiden MIC, Datuk Seri S Subramaniam mendakwa, kerusi Parlimen Cameron Highlands adalah hak milik mutlak MIC sejak sekian lama dan sudah menjadi tradisi buat MIC bertanding di kerusi berkenaan.
Malah, beliau menolak sama sekali mana-mana pesaingnya yang cuba untuk bertanding di kerusi berkenaan. Beliau juga mendakwa, sudah meletakkan penyelaras pilihan raya bagi pihak MIC di Cameron Highlands untuk melakukan kerja-kerja yang sepatutnya untuk MIC.
Hakikatnya, jika kita berkesempatan untuk membuat sendiri kaji selidik di Kampung Raja, Tringkap, Terla, Kea Farm, Brinchang, Tanah Rata, Ringlet dan beberapa perkampungan Orang Asal di sekitar Cameron Highlands, jawapan yang diterima jelas berlawanan dengan apa yang didakwa oleh Presiden MIC ini.
Secara amnya, majoriti pengundi di Cameron Highlands terutamanya bagi penduduk Orang Asal yang sebelum ini kerap kali disisihkan oleh wakil rakyat terdahulu, mereka lebih menyenangi cara Tan Sri M Kayveas dalam mendekati mereka dan memenuhi keperluan dan menyelesaikan masalah mereka.
Dakwa mereka, sejak sekian lama, kebanyakan masalah mereka diselesaikan dengan baik oleh Tan Sri M Kayveas sehinggakan bagi penduduk di sebuah perkampungan Orang Asal di Kampung Lemoi, mereka memberitahu, jalan yang menghubungkan kampung berkenaan dengan dunia luar yang sebelum ini terlalu teruk, berjaya diatasi oleh beliau hanya dalam tempoh kurang dari dua tahun.
Bagi para pengusaha ladang kebun dan bunga Cameron Highlands, mereka memberitahu, mereka lebih senang untuk berkomunikasi dengan Tan Sri M Kayveas dan merujuk kepada beliau bagi menyelesaikan beberapa perkara berbangkit. Ujar salah seorang wakil yang hanya dikenali sebagai Ah Kong, sukar untuk mereka bayangkan jika orang lain di pilih untuk menjadi wakil mereka kelak.
Ketika di minta mengulas tentang perkara ini, Tan Sri M Kayveas enggan memanjangkan perkara ini. Baginya, adalah hak Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohd Najib dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memilih, siapa yang paling berhak untuk menjadi calon BN bagi kerusi ini.
Bagi beliau, apa yang beliau lakukan di Cameron Highlands adalah hasil inisiatif beliau yang mahu melihat lokasi tumpuan pelancong ini kembali disegani sesuai dengan tagline beliau "Make Cameron Highlands Nice Again". Beliau tidak tertarik untuk terheret sama dalam kemelut pemilihan siapa yang layak untuk menjadi calon bagi kerusi ini.
Baginya, usaha yang beliau lakukan dengan mengeluarkan perbelanjaan sendiri tanpa mengharapkan wang dari BN pusat, sudah cukup membuktikan komitmen beliau dalam membantu menaikkan semula imej Cameron Highlands dan membela rakyat di kerusi ini. Baginya, agenda rakyat harus diutamakan dari terjebak kedalam kancah polemik politik yang tidak pernah berkesudahan.
Dengan rendah diri, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan BN dan kepada seluruh pengundi Cameron Highlands termasuk kira-kira 7,500 orang pengundi Orang Asal untuk menilai sendiri hasil kerja yang telah beliau gerakkan sejak 2015. Baginya, komitmen dan usaha keras beliau membantu rakyat adalah komitmen tinggi dan kesetiaan beliau terhadap BN.
0 comments:
Post a Comment