My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 26 February 2018

    Hilangnya Rupawan Sridevi


    TANPA sebarang pesan atau tanda, aktres veteran Bollywood, Sridevi meninggal dunia pada usia 54 tahun secara mengejut akibat serangan jantung pada pukul 11 malam, Sabtu lalu di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu. 

    Seluruh keluarganya termasuk suami, Boney Kapoor dan anak keduanya, Khushi berada di Dubai kerana menghadiri majlis perkahwinan anak saudara yang juga aktor, Mohit Marwah.

    Anak sulungnya, Janhvi tidak mengikuti keluarga ke Dubai kerana terikat dengan komitmen penggambaran. Tidak disangka, senyuman dan kegembiraan beliau ketika berada pada majlis perkahwinan tersebut merupakan perkara terakhir yang dirakam dan dimuat naik di akaun Instagramnya.

    “Ya, memang benar Sridevi telah meninggal dunia. Saya baru mendarat di India. Sebelum ini saya di Dubai dan kini akan terbang ke sana semula,” kata adik iparnya yang juga pelakon, Sanjay Kapoor yang mengesahkan berita kematiannya kepada Indiaexpress.com.

    Berita kematiannya telah mengejutkan Bollywood dan peminatnya di serata dunia. Difahamkan Sridevi atau nama sebenarnya, Shree Amma Yanger Ayyapan sebelum kematiannya sedang bersiap sedia untuk memasuki ke set penggambaran filem terbaharu yang dijangka akan ditayangkan pada awal tahun depan.

    Biarpun begitu, peminat masih dapat melepaskan rindu untuk menyaksikan lakonan terakhirnya di layar perak menerusi filem Zero gandingannya bersama Shah Rukh Khan. Filem Zero bakal ditayangkan di pawagam pada 21 Disember tahun ini.

    Mengimbas tentang perjalanan seninya, Sridevi telah membintangi hampir 300 buah filem. Beliau memulakan kariernya sebagai pelakon kanak-kanak ketika berusia empat tahun. Meskipun kini dia terkenal sebagai aktres Bollywood, namun Sridevi sebenarnya bermula sebagai pelakon filem Tamil berjudul Thunaivan.

    300 Buah Filem

    Beliau memasuki dunia seni Bollywood pada usia 16 tahun menerusi filem Solva Sawan pada 1979. Namun, namanya hanya terkenal empat tahun selepas itu menerusi filem Himmatwala (1983).

    Bagaimanapun filem yang benar-benar melonjakkan namanya dan watak yang diingati sehingga hari ini adalah menerusi filem Nagina (1986) yang mengisahkan tentang fantasi ular menjelma sebagai wanita. Menurut media di India, filem Nagina merupakan karya terbaik lakonannya daripada puluhan filem fantasi ular yang diterbitkan di Bollywood.

    Siapa yang akan lupa wajah Sridevi dengan mata bulatnya memegang watak Rajni dan tarian ularnya dalam filem tersebut di samping aktor Rishi Kapoor.

    Sewaktu berada di puncak populariti, Sridevi mengambil keputusan untuk berehat daripada dunia glamor untuk membesarkan dua anak perempuannya selepas berkahwin dengan penerbit, Boney Kapoor yang juga abang kepada pelakon Anil Kapoor pada tahun1996. Beliau hanya kembali ke layar perak pada 1997 menerusi filem Judaai dan English Vinglish (2012).

    Pemergiannya memberi kesan yang cukup besar kerana rata-rata selebriti Bollywood meluahkan rasa terkejut mereka dengan pemergiannya. “Saya bangun tidur dan dikejutkan dengan berita pemergian Sridevi. Dunia telah kehilangan seorang yang sangat berbakat dan meninggalkan legasi yang besar dalam dunia perfileman,” tulis aktres Madhuri Dixit di Twitter.

    Sementara itu Kajol juga meluahkan rasa terkejut dan sedih dengan berita berkenaan. Katanya, dia masih sukar untuk mempercayai Sridevi sudah tiada. “Saya terkejut dan tidak percaya. Walhal baru sahaja melihat dia ketawa dan bercakap. Pelakon yang berada di tahapnya sendiri. Saya banyak belajar daripadanya. Satu kehilangan yang besar,” tulis Kajol di Twitter.

    Aktor terkenal Rajinikanth juga merasai perkara yang sama dan masih terganggu dengan berita mengejutkan itu. Menurut Rajinikanth, beliau kehilangan seorang rakan sementara industri filem kehilangan seorang legenda.  "Saya merasai kesedihan dan kamu akan dirindui,” kata Rajinikanth. 

    Antara selebriti lain yang turut meluahkan kesedihan mereka ialah Preity Zinta, Ranveer Singh, Kamal Haasan, Juhi Chawla, Akshay Kumar, Aamir Khan, Alia Bhat dan Shilpa Shetty. Berita itu juga turut mendapat perhatian Presiden India, Ram Nath Kovind.

    “Terkejut mendengar berita kematian bintang filem Sridevi. Beliau telah meninggalkan jutaan peminatnya dalam kesedihan. Lakonannya dalam filem seperti Moondram Pirai, Lamhe dan English Vinglish akan kekal menjadi inspirasi kepada pelakon lain. Salam takziah buat keluarganya,” tulis Ram Nath Kovind di Twitter.

    Dalam perkembangan terbaharu, mayat Sridevi dibawa pulang dari Dubai ke Mumbai, India menggunakan pesawat peribadi dan tiba sekitar pukul 2 petang semalam.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Hilangnya Rupawan Sridevi Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top