Kadar denyutan jantung bagi seorang dewasa dalam keadaan normal tanpa sebarang aktiviti berat seperti berlari atau bersenam adalah dalam lingkungan 60 hingga 100 degupan seminit (BPM). Namun, rentak degupan jantung tidak sekata sama ada berdenyut terlalu laju atau perlahan berlaku apabila perentak jantung semula jadi yang menyelaras degupan jantung tidak berfungsi dengan betul.
Masalah denyutan jantung yang luar biasa perlahan atau dipanggil bradikardia dicirikan dengan kadar denyut kurang daripada 60 BPM. Bradikardia boleh menjadi masalah kesihatan yang serius apabila jantung tidak dapat mengepam darah beroksigen yang cukup ke seluruh tubuh walaupun dalam keadaan normal atau melakukan aktiviti fizikal.
Jantung kita terdiri daripada empat ruangan iaitu dua bahagian atas dipanggil atrium kanan dan atrium kiri, manakala dua bahagian bawah pula dipanggil ventrikel kanan dan ventrikel kiri. Perentak jantung semula jadi dinamakan nod sinus (SA), terletak pada atrium kanan yang mengawal degupan jantung dengan menghasilkan impuls elektrik yang mencetuskan setiap degupan.
Impuls elektrik ini bergerak merentasi atrium menyebabkan otot atrium menguncup dan mengepam darah ke dalam ventrikel. Impuls elektrik itu kemudian tiba di kelompok sel dinamakan nod atrioventrikel (AV) yang juga laluan tunggal untuk isyarat bergerak dari atrium ke ventrikel di bahagian bawah jantung.
Nod AV memperlahankan isyarat elektrik sebelum menghantarnya ke ventrikel dan kelewatan itu membolehkan ventrikel diisi dengan darah. Otot ventrikel yang menerima impuls elektrik akan mengecut dan mengepam darah ke paru-paru dan bahagian lain tubuh.
Proses berkenaan berjalan lancar dan menghasilkan kadar denyutan jantung normal antara 60 hingga 100 BPM bagi individu dengan jantung sihat. Bradikardia berlaku apabila isyarat elektrik bergerak perlahan atau tersekat. Bagaimanapun, kadar denyutan jantung yang perlahan berkemungkinan tidak mendatangkan masalah kepada segelintir individu.
Tetapi, ia boleh menjadi petanda bahawa individu terbabit mempunyai masalah dengan sistem elektrik dalam jantungnya. Ketua Pegawai Klinikal Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim berkata, bradikardia berlaku disebabkan pelbagai faktor termasuk kecacatan jantung sejak lahir (kongenital) dan perubahan dalam jantung akibat proses penuaan.
“Selain itu, ada juga penyakit yang merosakkan sistem elektrik jantung seperti serangan jantung, penyakit jantung koronari dan radang otot jantung. Punca lain boleh berlaku disebabkan kesan sampingan pengambilan ubatan tertentu terutama ubatan untuk rawatan jantung dan tekanan darah tinggi.
“Seseorang juga boleh mendapat denyutan jantung lemah akibat kadar garam galian atau elektrolit dalam tubuh tidak seimbang serta masalah pengeluaran kelenjar tiroid yang tidak aktif (hipotiroidisme) yang memperlahankan impuls elektrik dalam jantung,” katanya.
Dr Aizai Azan berkata, rawatan bradikardia bergantung kepada jenis masalah konduksi elektrik atau punca yang menyebabkan kadar denyut jantung pesakit lebih lambat daripada biasa, di samping gejala yang ditunjukkan pesakit terbabit.
“Jika disebabkan hipotiroidisme, rawatannya adalah menyelesaikan gangguan hormon terbabit dengan pengambilan ubatan yang mengawal pengeluaran hormon. Bagi masalah disebabkan kesan sampingan ubatan, elakkan mengambil ubat itu atau ubah dos ubat untuk mengembalikan kadar denyut jantung yang normal.
“Bagaimanapun, jika masalah disebabkan kerosakan pada sistem elektrik jantung atau rawatan lain tidak berhasil, pesakit akan disyorkan menggunakan perentak jantung buatan (pacemaker).
“Perentak jantung buatan adalah peranti yang berfungsi mengawal degupan jantung dan mengekalkan nadi jantung yang mencukupi sama ada disebabkan ketidaklajuan perentak jantung semula jadi atau wujud penghalang pada sistem perjalanan elektrik pada jantung,” katanya.
Katanya, perentak jantung buatan ini boleh diprogramkan secara luaran hasil daripada teknologi yang semakin berkembang, di samping membolehkan pakar jantung membuat pilihan mod rentak yang terbaik untuk pesakit secara individu.
IJN baru-baru ini melakar sejarah apabila menjadi hospital pertama di negara ini dan rantau Asia Pasifik menjalankan implan perentak jantung buatan terkecil di dunia, Medtronic Micra Transcatheter Pacing System (TPS) kepada pesakit bradikardia.
Perentak jantung buatan generasi kedua itu kecil saja - sebesar saiz kapsul vitamin yang dihasilkan syarikat teknologi perubatan terbesar di Amerika Syarikat, Medtronic, bagi menawarkan terapi inovatif untuk memulihkan kesihatan jantung menerusi pendekatan invasif paling minimum.
Berbanding perentak jantung buatan konvensional, peranti baru ini tidak memerlukan pembedahan di dada bagi membentuk poket di bawah kulit, seterusnya menyingkirkan potensi wujudnya kemungkinan komplikasi.
Sebaliknya, peranti yang berukuran satu persepuluh daripada saiz perentak jantung buatan konvensional itu dimasukkan ke dalam jantung melalui urat femoral (paha).
Prosedur mengimplan perentak jantung Micra TPS yang pertama terhadap pesakit dijalankan IJN pada 2014 sebelum generasi pertama alat berkenaan dilancarkan pada tahun berikutnya. Sejak itu, seramai 200 pesakit jantung di negara ini sudah menjalankan implan itu.
0 comments:
Post a Comment