Bekas juara remaja dunia 2011, Zulfadli Zulkiffli dan bekas pemain skuad Piala Thomas 2010, Tan Chun Seang hadir bersama peguam masing-masing pada sesi pendengaran yang diadakan di Hotel Jen, Tanglin.
Pemerhati yang mewakili Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Jadadish Chandra enggan mengulas lanjut sama ada dua pemain itu terlibat atau tidak dengan kegiatan tersebut biarpun berdepan enam pertuduhan berhubung mengatur perlawanan.
“Hari ini (semalam), empat saksi dari tiga buah negara termasuk seorang pemain yang membuat laporan dipanggil BWF (Persekutuan Badminton Dunia) bagi memberi keterangan.
“Dua pemain terbabit berdepan enam pertuduhan melibatkan aktiviti mengatur perlawanan yang berlaku antara 2013 hingga 2016, termasuk Grand Prix (GP) Terbuka Korea. Mereka diwakili peguam masing-masing dan memberi kerjasama yang cukup baik,” kata Jadadish.
Beliau yang juga Ahli Majlis BAM berkata, sesi pendengaran itu dikendalikan tiga ahli panel bebas yang dilantik BWF selain menegaskan skandal tersebut langsung tidak menjejaskan kredibiliti BAM.
“Pendakwaan ini dilakukan secara adil menerusi tiga ahli panel bebas yang dilantik BWF. Perkara ini juga tidak menjejaskan imej BAM kerana ia melibatkan individu itu sendiri selain tidak berada di bawah naungan BAM.
“Sesi pendengaran akan berakhir esok (hari ini) dengan dua lagi saksi akan dipanggil. Dua pemain itu juga akan memberi keterangan bagi membela diri,” tambah beliau.
Pada masa sama, Jadadish menyatakan, keputusan perbicaraan mungkin akan diumumkan dalam tempoh tiga minggu lagi menerusi surat bertulis yang disertakan alasan kukuh daripada panel bebas berkenaan.
“Saya tidak fikir keputusan akan diberikan esok (hari ini). Keputusan mungkin dibuat secara bertulis berserta alasan kukuh daripada panel bebas yang dilantik dan bakal diserahkan kepada pemain dalam tempoh tiga minggu lagi,” ujarnya.
Dua pemain terlibat turut mengelak bertemu media tempatan dan antarabangsa yang mengikuti perkembangan kes berkenaan apabila meninggalkan lokasi perbicaraan melalui pintu dapur hotel tersebut.
Menurut sumber, pemain yang terlibat dengan skandal tersebut berdepan hukuman gantung seumur hidup oleh BWF sekiranya mereka didapati bersalah atas dakwaan berkenaan.
0 comments:
Post a Comment