Seawal jam 8 pagi, kumpulan dari Selangor, Pahang, Perak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memulakan perjalanan ke sebuah perkampungan Orang Asal yang diberi nama Kampung Lemoi. Rombongan ini turut disertai oleh seorang individu yang hanya lebih dikenali sebagai Uncle Bond bagi penduduk Orang Asli di sekitar Cameron Highlands.
Tidak diketahui kenapa beliau dipanggil sedemikian. Tetapi, menurut beberapa orang yang ditemui, gelaran Uncle Bond itu terbit setelah Orang Asal ini melihat perwatakan dan penampilannya persis watak James Bond. Samada dari caranya berpakaian mahupun penampilannya, mungkin juga ianya agak sesuai dengan Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas.
Tujuan untuk ke Kampung Lemoi yang jaraknya lebih kurang 18 kilometer dari Ringlet ini hanyalah untuk menyampaikan perkakasan sekolah buat anak-anak Orang Asal ini. Sedari awal, beliau telah memberitahu, jalan yang bakal dilalui ini persis laluan offroad.
Cuma apa yang agak melegakan adalah, jalan berkenaan sedang dinaik taraf dengan jalan batu hasil daripada usaha yang dilakukan oleh tan Sri M Kayveas sejak setahun yang lalu. Nyata, laluan berkenaan hanya boleh dilalui oleh kenderaan pacuan 4 roda dengan mengambil masa satu jam setengah untuk tiba ke kampung berkenaan dengan laluan yang agak mencabar kesabaran.
Seperti biasa, ketibaan beliau disambut oleh Tok Batin Orang Asal yang mana sambutan meriah diberikan. Paling mencuri tumpuan, sepanjang jalan masuk ke kampung berkenaan, bendera MyPPP sudah siap dipasang berselang seli dengan bendera Barisan Nasional. Malah bendera Malaysia juga turut tergantung gagah melambangkan kecintaan warga Kampung Lemoi dan sekitarnya terhadap negara.
Sedang program berkenaan berlangsung, pada satu kesempatan, penulis sempat bertanyakan dengan beberapa orang penduduk kampung tentang pendapatnya tentang Uncle Bond ini. Seperti pendapat penduduk disekitar Tanah Rata, Brinchang, Kampung Raja, Tringkap mahupun Terla, mereka begitu menghargai apa yang telah dilakukan oleh Uncle Bond ini.
Menurut penduduk kampung, sepanjang wujudnya kampung ini, hanya Uncle Bond sahaja yang kerap mengunjungi mereka sehinggakan sebuah empangan vortex turut dibina di kampung ini. Malah, menurut Tok Batin Zainal, apa sahaja masalah penduduk kampung pasti akan diatasi oleh Uncle Bond tanpa sedikit pun beliau merungut.
Menurut Tok Batin Zainal, bukan kampung mereka sahaja yang dikunjungi oleh beliau. Hampir seluruh penempatan Orang Asal di sekitar Cameron Highlands telah dikunjungi beliau. Malah, lebih ramai Orang Asal di sekitar Cameron Highlands lebih mengenali beliau daripada mana-mana ahli politik yang ada di Cameron Highlands termasuk Ahli Parlimennya sekarang, Datuk Seri G Palanivel.
Apa yang mengharukan adalah, penduduk perkampungan rang Asal di sekitar Cameron Highlands telah menyuarakan kemahuan mereka untuk melihat Tan Sri M Kayveas menjadi wakil mereka. Jika tidak, mereka tidak akan mengundi sesiapa pun calon Barisan Nasional yang dihantar bertanding di kerusi ini. Ini tegas mereka dan ini kemahuan mereka.
Sebelum program ke Kampung Lemoi ini, satu perjumpaan terbuka telah diadakan di Brinchang yang melibatkan 9 rang Ketua Kampung dan ketua pengusaha pekebun sayur dan bunga di Cameron Highlands. Siapa sangka, mereka yang kesemuanya dari kaum Cina yang sebelum ini agak pasif tentang politik di Cameron Highlands, berkumpul dan menyuarakan sokongan mereka terhadap Tan Sri M Kayveas.
Menurut Ketua Pengusaha Pekebun Sayur dan Bunga Cameron Highlands yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Kong, mereka selama ini enggan melibatkan diri dalam hal ehwal politik Cameron Highlands kerana begitu kecewa dengan wakil BN yang menjadi AHli Parlimen di kerusi ini.
Tegas Ah Kong, sejak lebih sedekad Barisan Nasional menjadi parti pemerintah di tanah tinggi berkenaan, kebajikan mereka terabai dan tidak ada sebarang petunjuk bahawa nasib mereka akan dibela. Namun kali ini senarionya berubah apabila Tan Sri M Kayveas di lihat cukup aktif membantu mereka samada menguruskan permasalahan tanah mahupun menyelesaikan banyak isu tertunggak dengan agensi kerajaan.
Oleh yang demikian, tegas Ah Kong, sukar untuk mereka menerima orang lain selain daripada Tan Sri M Kayveas. Mereka telah memberi kepercayaan kepada parti lain sebelum ini dan bagi Ah Kong, sudah tiba masanya, beliau diberi kepercayaan untuk menjadi calon BN di Cameron Highlands.
Apa yang menariknya, dia yang juga ahli MCA memberi jaminan, andai Tan Sri M Kayveas menjadi calon di Cameron Highlands, undi kaum Cina di semua 9 perkampungan Cina di Cameron Highlands akan kembali kepada BN. Jika tidak, mereka tidak kisah mereka disisihkan dan tidak menerima apa-apa manfaat daripada kerajaan seandainya kerajaan BN kekal menerajui negara selepas PRU ke 14.
Apa yang ditonjolkan dalam tempoh dua hari jelas menampakkan, pengundi telah mengambil ketetapan siapa yang mereka akan sokong pada PRU ke 14 nanti. Majoriti daripada mereka menolak sesiapa pun calon dari DAP dan tumpuan sokongan kini lebih terarah kepada Tan Sri M Kayveas yang lebih dikenali sebagai Uncle Bond bagi penduduk Orang Asal di Cameron Highlands.
0 comments:
Post a Comment