Polis memberi tempoh sehingga hari ini kepada dua individu termasuk penyanyi sebuah kumpulan R&B untuk tampil membantu siasatan kes penyalahgunaan dadah bersama pelakon Sofi Jikan seperti yang didakwa pelakon dan pengarah filem, Datuk Farid Kamil.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, penyanyi itu yang dikenali sebagai Firdaus dan seorang lagi rakan artis iaitu Ahmad Tajuddin atau Taj sehingga kini gagal untuk menghadirkan diri bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes tersebut.
“Kita telah berhubung dengan dua individu berkenaan dan meminta mereka tampil membantu siasatan berhubung dakwaan tersebut. Setakat ini Ahmad Firdaus dipercayai berada di Johor Bahru, Johor.
“Kita memberi mereka masa sehingga esok (hari ini) supaya mereka tampil membantu siasatan dan jika mereka gagal berbuat demikian, kita akan bertindak tegas termasuk menyiarkan gambar mereka,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini semalam. Kumpulan R&B Innuendo dianggotai Taj yang popular pada tahun 1990-an dikenali dengan lagu Belaian Jiwa.
Pada 31 Januari lalu, Farid, 37, membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur mendakwa dirinya dianiaya oleh tiga rakan artis yang mencampurkan dadah ke dalam minumannya.
Berikutan tindakan tiga rakan artis itu, suami kepada pelakon Diana Danielle itu mendakwa dirinya khayal sehingga hilang kawalan dan bertindak ganas ketika berada di Balai Polis Kota Damansara. Farid sebelum ini mendakwa tiga rakan artisnya itu merupakan dalang yang meletakkan dadah dalam minumannya.
Media semalam melaporkan, Sofi Jikan ditahan di Balai Polis Mutiara Damansara pada pukul 11 malam kelmarin selepas dia hadir memberikan keterangan berhubung laporan polis yang dibuat oleh Farid Kamil pada 31 Januari lalu. Dia direman selama tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
0 comments:
Post a Comment