Syarikat telekomunikasi Perancis, Wiko secara rasminya bergabung dengan Tinno Mobile Technology Corp. (Tinno) setelah menjalin kerjasama rapat selama tujuh tahun. Tindakan penggabungan itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Wiko sebagai salah satu pemain dalam industri tersebut.
Penggabungan Wiko dengan Tinno yang merupakan sebuah syarikat khusus bagi membangunkan telefon pintar dirintis oleh Pengasas Wiko, Laurent Dahan dan Pengerusi Tinno Group, James Lin.
Mengemudi hala tuju Wiko selepas penggabungan tersebut adalah Jawatankuasa Kepimpinan yang terdiri daripada Presidennya, James; Naib Presiden Kanan, Laurent dan dua Naib Presidennya, Michel Assadourian dan Julien Heang.
Menurut James, penggabungan kedua-dua syarikat tersebut membolehkan Wiko untuk memperkukuhkan kedudukan mereka dalam industri telekomunikasi serta menjadi sebuah jenama ikonik di seluruh dunia.
“Wiko adalah satu jenama menakjubkan yang menawarkan semua jenis aset, sekali gus membantu usaha kami dalam mendapatkan pengguna baharu di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Sementara itu, Laurent berkata, Tinno merupakan rakan Wiko sejak syarikat tersebut ditubuhkan pada 2011, dengan jumlah pengguna di seluruh dunia meliputi 30 negara sebanyak lebih 30 juta.
Penggabungan itu didorong oleh kepakaran yang dimiliki oleh kedua-dua syarikat tersebut, seperti strategi pemasaran utuh dan organisasi pemasaran utuh oleh Wiko, selain pengetahuan mendalam Tinno terhadap industri serta keupayaan menghasilkan telefon pintar.
Tinno memiliki empat pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan dua pusat penghasilan, manakala Wiko telah beroperasi di lebih 30 buah negara serta diiktiraf sebagai Top 5 jenama telefon pintar di Eropah Barat. Wiko juga memainkan peranan penting dalam aktiviti global Tinno dan penggabungan itu merupakan suatu yang telah dijangka.
0 comments:
Post a Comment