My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 15 February 2018

    Lebih Aksi, Mudah Dipelajari



    Siapa tak kenal Dragon Ball, siri komik legenda karya Akira Toriyama yang kemudian dikembangkan ke pelbagai cabang penerbitan seperti filem, anime dan figura. Tidak cukup dengan itu, pembangun ‘game’ terkemuka, Arc System Works membuka tirai 2018 dengan pendekatan berbeza menerusi permainan video terbaru mereka di PlayStation 4, Xbox One dan PC iaitu Dragon Ball FighterZ. 

    Jika anda bayangkan permainan bercorakkan perlawanan (fighting) ini hadir dengan grafik 3D, ia adalah sebaliknya. Arc selesa mempertaruhkan grafik 2D bagi mencipta sesi permainan yang moden tapi masih mengekalkan elemen klasik.

    3 Lawan 3

    Menerusi perlawanan 3 lawan 3, sudah jelas konsep permainan ini yang mengetengahkan keserasian antara karakter ikonik dunia Dragon Ball. Jika anda menganggap ia akan ‘lari’ daripada landasan sebenar, permainan ini masih setia dengan karya agung Akira dengan memaparkan karakter seperti Goku dan rakan berbangsa Saiyan.

    Studio ini menggunakan enjin sama yang digunakan untuk Guilty Gear Xrd. Anda boleh saksikan hasil kerja berbentuk 2D tapi sebenarnya ia menggunakan enjin 3D sepenuhnya untuk kesan ‘transition’ lebih lancar terutama pada aspek animasi ketika perlawanan. 

    Gerakan Mudah  

    Dragon Ball FighterZ lebih mudah dimainkan pada awalnya jika dibandingkan dengan permainan video lain. Pemain profesional e-sukan mungkin kurang gemar dengan pendekatan ini tapi bagi penulis, ia memberi ruang kepada pemain baru untuk mencuba. Ada empat butang serangan ringan, sederhana, kuat dan istimewa.

    Jika anda menyerang banyak kali, karakter itu akan melakukan kombo automatik yang sesuai untuk mereka ingin bermain mod cerita dan menikmati grafik memukau. Kesemua gerakan ‘special’ dan ‘super’ lebih sukar tapi ia mudah dilaksanakan jika anda sudah biasa bermain Guilty Gear.

    Tidak terhad kepada itu, Dragon Ball FighterZ sebenarnya sangat bergantung kepada kombo bersama ‘pembantu’ atau dua lagi karakter bantuan. Memanggil karakter lain untuk serangan tambahan bukan saja berguna tapi memberi idea kepada anda untuk teknik seterusnya.

    Bagi pemain kompetitif, ini penting untuk serangan ‘teleport’ bagi mematahkan pertahanan musuh dan juga beberapa gerakan lebih kompleks yang boleh dilakukan dengan latihan berterusan. Ada juga butang pertahanan untuk melindungi diri ataupun memecahkan pertahanan musuh.

    Ia adalah mekanik yang ‘universal’ bermakna semua karakter mempunyai kemahiran ini. Arc System Works juga memperkenalkan tutorial untuk anda memahami setiap butang disediakan.

    TUTORIAL DAN PELBAGAI MOD DISEDIAKAN

    Tutorial bersama beberapa mod permainan lain menjadikan DBFZ sebuah pakej yang berbaloi didapatkan. Mod cerita membawa anda dalam kembara Goku dan menampilkan karakter lain yang diminati. Mod Arcade pula lebih daripada sekadar melawan ketua musuh tapi memerlukan anda mahir dalam beberapa perkara untuk maju ke hadapan dan mendapatkan karakter rahsia.

    Bagi mod multi-pemain, FighterZ boleh dimainkan bersama rakan dan juga dalam talian. Ia boleh dilakukan dengan mengajak mereka menyertai lobi dan kemudian mencipta Ring Match. Secara keseluruhannya, permainan video ini bukan saja popular tapi juga lebih kompleks walaupun hanya 24 karakter boleh dimainkan setakat ini.

    Tiga karakter satu perlawanan mungkin menunjukkan angka itu kecil tapi jika anda sudah lama bermain, setiap karakter mempunyai set kuasa berlainan dan kombo tersendiri.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Lebih Aksi, Mudah Dipelajari Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top