Warna monokrom bermaksud kombinasi hitam dan putih sebagai latar sesuatu rekaan serta corak yang sesuai diketengahkan dalam menata hias ruang kediaman. Monokrom juga bermaksud gandingan beberapa ton daripada satu warna.
Ini kerana mood yang terhasil menerusi gabungan warna kontra gelap dan cerah itu menyuntik suasana sederhana sekali gus mampu menenangkan jiwa penghuninya. Tidak hairanlah konsep itu popular dalam kalangan mereka sukakan gaya minimalis bagi menghias ruang utama atau kamar beradu yang dianggap ruang ‘penyembuhan’ selepas penat bekerja seharian.
Faktor itu juga mendorong kakitangan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Noor Hafiza Mohamad, 33, melakukan kerja pengubahsuaian sebahagian besar ruang pangsapurinya di Lestari Perdana Seri Kembangan, Selangor sejak tiga tahun lalu.
Kediaman yang didiami bersama suaminya, Mohd Noor Indra Ahmad, 42, sejak lima tahun lalu tampak elegan dan ceria setanding dengan dekorasi mewah. Penggunaan kedua-dua warna itu diimbangi sepenuhnya hingga ruang kelihatan eksklusif.
Bagaimanapun, putih menjadi warna utama berbanding hitam dalam melengkapkan perincian kecil seperti permaidani, corak warna dinding secara tidak langsung membuatkan ruang tampak lebih kemas dan teratur. Kesempurnaan ruang tamu dan ruang makan dengan idea penataan menarik dan berada bersebelahan pula nyata mencuri perhatian.
Pemilihan warna dan saiz perabot hakikatnya lebih menambahkan keselesaan. Di ruang tamu, Noor Hafiza tempatkan sofa tiga tempat duduk bersama dua kerusi kayu diserikan alas hijau yang memberi padanan kemas dengan latar putih.
Malah pemilihan kertas dinding yang menampilkan corak bulat pada latar putih membuatkan ruang itu tampak moden dan minimalis berbanding warna asalnya hijau terang. Meskipun berdepan dilema kerana kediaman itu hanyalah rumah sewa, namun wanita kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini berkata, dia tetap meneruskan kerja pengubahsuaian bermula dengan pemasangan kertas dinding.
“Saya bersyukur ketika mula menyewa lima tahun lalu tidak perlu membayar deposit dan kadar sewa juga rendah membolehkan saya mulakan projek menghias kediaman ini. Perancangan asal mahu lakukan kerja mengubah suai seringkas mungkin. Jadi pilihan terbaik ialah menampal sendiri kertas dinding kerana ia paling ekonomi baik dari segi masa atau peruntukan.
“Lama-kelamaan kerja menghias semakin ‘merebak’ hingga ghairah mencari pilihan perhiasan lain seperti permaidani, perabot kayu dan juga aksesori kecil sesuai dengan konsep hitam putih yang kami inginkan.
“Malah suami turut membantu saya dalam kerja mengecat ruang untuk menzahirkan hiasan dalaman impian,” katanya.
Noor Hafiza juga bertuah kerana suaminya turut menyokong minat menghias kediaman itu sehingga sanggup membantu mencari perabot kayu sesuai dengan bajet dan keluasan ruang. “Keinginan saya tinggi. Maklumlah saya dibesarkan di rumah kampung besar dan begitu menyukai perabot kayu.
“Tapi perabot kayu biasanya bersaiz besar dan material berkualiti mahal pula harganya. Mahu atau tidak kenalah cari yang sepadan dengan keperluan ketika ini. Suami juga mendapatkan perabot hotel terpakai pada harga murah. Saya sendiri berkunjung ke kedai menjual barang dekorasi bajet dan melakukan sendiri kerja pengubahsuaian ruang,” katanya.
Bercerita berkenaan penataan bilik tetamu kediamannya itu, warna dinding biru sebenarnya dicat secara tidak sengaja. Bagi menyeimbangkan rona berkenaan, pasangan itu selesa dengan penggunaan putih pada katil dan langsir selain sedikit sentuhan warna emas pada hiasan kecil seperti bantal untuk menyerlahkan ruang terbabit.
“Kami gemar bercuti dan sebaik menginap di hotel, keunikan dekorasinya memberi seribu satu ilham untuk diterjemahkan pada kediaman ini. Daripada susun letak katil hingga perincian alas bantal dan tilam untuk bilik berkenaan kami sesuaikan mengikut idea terbabit.
“Bilik tetamu ini sering menjadi pilihan keluarga sebagai ruang beristirahat kerana ia begitu menenangkan,” katanya Mohd Noor Indra.
0 comments:
Post a Comment