Seekor anjing jantan bernama Capitan yang setia menemani kubur tuannya di bandar Villa Carlos Raz akhirnya mati di tanah perkuburan tersebut, lapor media tempatan kelmarin.
“Saya tidak pernah melihat kesetiaan seperti itu,” kata Marta Clot, penjual bunga di kawasan perkuburan berkenaan berhubung Capitan, anjing baka german shepherd yang ditemui mati selepas kesihatannya merosot.
Capitan merupakan hadiah kejutan daripada Miguel Guzman kepada anaknya, Damian pada tahun 2005. Namun, anjing itu meninggalkan rumah mereka selepas kematian Miguel pada Mac 2006.
Walaupun ia kembali sekali-sekala, Capitan terus berada di jalanan, kata pengarah tanah perkuburan itu, Hector Baccega kepada agensi berita EFE pada 2012. Apabila Capitan hilang buat kali kedua, keluarga berkenaan menganggap haiwan itu sudah mati atau menemui tuan baru sehinggalah mereka menemui ia duduk di kubur Miguel.
Orang ramai yang melawat perkuburan itu menceritakan bagaimana Capitan berkeliaran mencari makanan di sekitar tanah perkuburan itu pada siang hari dan kembali menemai kubur tuannya apabila senja tiba.
“Ia selalu tidur di kubur tuannya, tetapi akhir-akhir ini ia kurang kerap datang kerana masalah pada tulang pinggulnya,” kata Clot.
Penjual bunga itu memberi makanan dan ubat kepada Capitan. Dia mahu menanam Capitan di tanah perkuburan di mana haiwan itu menghabiskan hayatnya, namun masih belum mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan.
0 comments:
Post a Comment