My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday, 21 February 2018

    Imaginasi Zaman Kanak-Kanak



    Gemar berimaginasi ketika kecil mendorong artis muda ini menghasilkan lukisan seni halus berjudul Koboi Malaya. Menurut Muhammad Aimman Mohd Hafizal, 23, karya bergenre realisme itu mencerminkan pemikirannya terhadap permainan dan animasi ketika masih kanak-kanak. 

    “Karya ini refleksi berkenaan permainan dan animasi yang saya gemari ketika kecil. Ia mendorong saya berimaginasi dengan moral yang ditonjolkan. Umpamanya filem animasi seperti Disney Toys Story lebih menjadi tarikan kepada kanak-kanak kerana menampilkan nilai moral seperti persahabatan, keberanian menjadi wira dan menghargai sesuatu perkara,” katanya.

    Malah karya menggunakan medium cat minyak di atas kanvas itu mengambil masa dua bulan untuk disiapkan. “Judul Koboi Malaya dipilih kerana koboi melambangkan watak utama Toys Story dan Malaya adalah simbol bagi masa silam saya.

    “Penggunaan merry-go-round itu pula menggambarkan simbol peringatan sementara contengan pada latar lukisan menggambarkan zaman kanak-kanak saya,” katanya ketika ditemui di Galeri Tapak Seksyen 9, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

    Karya Muhammad Aimman itu dipersembahkan dalam pameran berjudul BOFA @ Tapak. Pada masa sama BOFA @ Tapak turut menampilkan karya Roslinda Gazali, 24, yang menterjemahkan budaya Sarawak. Anak jati Sarawak ini menampilkan dua karya bergenre futuristik berjudul Tandak Meraga Ulah dan Tandak Niti Batang.

    “Karya saya menampilkan gerak tari menggunakan topeng dalam gendang Melayu. Inpirasi untuk karya ini datang daripada budaya asal saya sendiri. Sebagai anak Sarawak, saya ingin tunjukkan keunikan dan budaya tempatan dalam karya.

    “Setiap karya itu saya cuba ketengahkan semua pergerakan dalam tarian berkenaan. Tarian ini mempunyai dua penari dan tujuan mereka sama iaitu untuk mencari gadis idaman. Dua penari lelaki ini bertarung menunjukkan kelebihan masing-masing dan ia turut memperlihatkan kelemahan mereka sama ada rajin atau malas,” katanya.

    Menariknya BOFA @ Tapak membabitkan penyertaan 14 artis muda lulusan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Shah Alam.

    Pameran yang berlangsung Galeri Tapak Seksyen 9 itu berlangsung dari 20 Februari hingga 6 Mac ini. Kunjungi Galeri Tapak untuk menghayati hasil seni halus 14 anak muda itu. Pameran dibuka kepada orang ramai dan masuk adalah percuma.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Imaginasi Zaman Kanak-Kanak Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top