Selain seram dan aksi, genre komedi romantik sering jadi pilihan penonton tempatan. Namun, apabila diselitkan dengan elemen ‘sub-culture’ yang asing di Malaysia, ia pastinya sebuah percubaan berani. Keberanian ini yang ditonjolkan pengarah, Waan Hafiz melalui filem terbarunya, Surf This Love: Gelora Juara yang ditayangkan mulai esok.
Filem ini menampilkan lakonan Shukri Yahaya, Cristina Suzanne, Ardell Aryana, Josiah Hogan, Mustaqim Bahadon dan Pekin Ibrahim. Waan, 36, berkata, skrip filem keempatnya selepas Mat Tudung, Hantu Tok Mudim dan Puaka Balai Gombak ini dirombak lebih tujuh kali bagi mencari kepuasan.
“Cerita asal adalah Surfer Lover tetapi apabila difikirkan semula, saya tidak mahu buat cerita sekadar kisah cinta tepi pantai. Ia mesti sebuah cerita yang baru, tetapi memberi inspirasi kepada semua. Sukan luncur air adalah satu ‘sub-culture’ yang kecil, tetapi sangat unik,” katanya.
Katanya, walaupun mengenai luncur air, penceritaannya berkait rapat dengan cinta remaja, kekeluargaan dan drama sosial. Bercakap dari segi pelakon, Waan akui mahukan pelakon yang tahan lasak dan mempunyai semangat serta fizikal yang kuat. Apatah lagi watak utamanya, semua berkait rapat dengan minat serta lasak melakukan sukan luncur air.
“Pelakon diberi latihan selama seminggu ketika berada di Bali, Indonesia sebelum menjalani penggambaran aktiviti luncur air di sana,” katanya yang berpuas hati dengan lakonan Shukri, Josiah dan Mustaqim di laut.
Walaupun hebat persembahan pelakon di layar, sedar atau tidak filem ini sebenarnya kurang diketahui kewujudannya. Perkara ini diakui Waan yang mendakwa agak bergelut dari segi pemasaran. Katanya, pelbagai cara dilakukan pihak produksi dalam bajet yang agak ketat. Malah, dari segi pasaran yang bagaimana juga, dia belum pasti.
Dia juga sedar pasaran ‘niche’ subjek luncur air di Malaysia juga membuatkan dia agak gementar dengan sambutan filem ini nanti. “Saya nak cuba pasaran baru. Selalunya pasaran besar kita boleh lihat pada genre gengster. Sebab itu saya warnakan filem ini dengan ceria dan tidak terlalu keras.
“Saya nak sasarkan remaja dan belia kerana sedar golongan terlalu dewasa tidak ada yang bermain luncur air. Tapi saya tetap selitkan elemen keluarga, drama dan romantik supaya golongan dewasa juga boleh layan,” katanya.
Shukri jatuh cinta sukan luncur air Penangan hampir sebulan menjalani penggambaran filem ini di Pulau Tioman dan Bali, Shukri akui rasa minat pada sukan luncur air mula timbul dalam dirinya.
“Saya sudah beli sekeping papan luncur air dan melabur lebih RM1,500 untuk mendapatkan kelengkapan sukan itu. Ketika penggambaran di Bali, saya sudah berkenalan dengan beberapa rakan baru dalam bidang sukan itu.
“Saya merancang ke sana (Bali) untuk belajar dengan mereka pada pertengahan tahun ini,” katanya. Selain itu, ketika penggambaran filem, Shukri turut berdepan cabaran dan dugaan tersendiri sehingga membawa kepada kecederaan. Antaranya terjatuh dalam laut ketika cuba menyelamatkan peralatan kamera dan rakannya, Cristina Suzanne di jeti Pulau Tioman.
Akibat insiden itu, Shukri luka di kaki kerana terkena batu karang. “Di Bali pula, saya tiba-tiba jadi penyelamat seorang lelaki ‘mat salih’ yang tanpa disedari hampir kelemasan kerana berenang terlalu lama dari tengah laut ke pantai.
“Lelaki itu ucapkan terima kasih dan ambil papan luncur saya. Kemudian saya pula terpaksa dibantu kru untuk dibawa ke darat,” katanya ketawa mengimbau kenangan itu.
Selain itu, dia juga mengalami kejang otot tangan kerana terpaksa ‘berlawan’ dengan ombak ketika cuba berenang kembali ke pantai. Pengalaman itu bukan saja mematangkan Shukri, malah lakonannya sebagai Jimmy turut mendapat pujian penonton.
0 comments:
Post a Comment