Tidak lama lagi, peranti elektronik akan mengambil alih manusia untuk menjadi pengguna Internet paling besar dalam dunia baru yang membabitkan sensor elektronik, rumah pintar dan tanda atau tag yang mampu mengesan tabiat serta pergerakan pengguna.
Revolusi teknologi masa depan akan menyaksikan manusia, perkakasan elektronik, objek dan pangkalan data berhubungan dalam masa sebenar melalui Internet. Dalam dunia masa kini, kita menuju ke era baru yang nyata dengan menyaksikan Internet akan muncul sebagai kuasa utama pelbagai penggunaan sedangkan manusia hanya menjadi minoriti.
Fiksyen sains secara perlahan menjadikan fakta sains itu ke dalam Internet of Things (IoT) atau Internet untuk segalanya berasaskan sambungan sistem rangkaian yang sentiasa wujud. BANDAR dirancang hanya di depan PC Dunia kini menghasilkan kepintaran dengan menyaksikan objek seakan-akan hidup yang membolehkannya berkomunikasi dengan sistem rangkaian.
Perkakasan rumah yang dikawal secara jauh oleh komputer kini sudah wujud selain kereta prototaip dengan sensor mengelak kemalangan manakala telefon pintar boleh digunakan sebagai tiket kapal terbang. Salah satu ciri IoT paling dekat pastinya gabungan mesin dan kerja rumah seperti membasuh pakaian yang mula diterokai syarikat pengeluar barangan elektrik.
Memandangkan aktiviti dobi sudah menjadi kewajipan namun mungkin satu tugas yang membosankan bagi sesetengah orang dan boleh menjadi beban kepada jadual sibuk anda memerlukan inovasi baru melalui IoT.
Memperuntukkan masa untuk memasukkan pakaian, menunggu pusingan habis, tempoh ‘spin’ dan mengeluarkannya dari mesin basuh sebelum menggeringkannya pasti memenatkan dan kadang-kadang membuatkan kita hilang masa begitu saja.
Nasib baik sesetengah pengeluar mesin basuh seperti Samsung mencipta mesin basuh pintar yang mudah dikawal menggunakan aplikasi pada telefon pintar anda. Ia sekali gus membolehkan pengguna memulakan dan menghentikan kitaran aktiviti basuhan hanya dengan mengklik butang maya dari telefon pintar mereka.
Mesin sama membolehkan anda melaksanakan tugas lain ketika mesin mengendalikan pakaian. Mesin ini mempunyai pelbagai ciri yang membolehkannya mengendalikan dobi pengguna dengan cara lebih baik.
Kebanyakan produk IoT hanya dipacu dengan cip kecil sebesar ibu jari tetapi memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia. Intel misalnya menjadikan IoT sebagai salah satu cabang perniagaan yang penting memandangkan menjangkakan produk masa depan berupaya menerima gelaran pintar apabila dapat berkomunikasi, berinteraksi malah memberi maklum balas antara satu sama lain.
Kebanyakannya diproses melalui sistem perkomputeran ‘cloud’. Bayangkan ketika Pameran Elektronik Pengguna (CES) di Las Vegas, Amerika Syarikat awal tahun ini, banyak syarikat mempamerkan produk IoT mereka.
Contohnya, BMW yang mempertontonkan kenderaan elektrik mereka yang dapat dikawal dari jam tangan pintar. Bagi memacu pengeluaran produk IoT, Intel sendiri mengambil inisiatif menghasilkan produk dan sistem berkaitan apabila mempamerkan produk prototaip mereka seperti Intel Edison iaitu sistem komputer lengkap yang boleh beroperasi sendiri dengan saiz hanya sebesar kad memori SD.
Edison boleh dimuatkan ke dalam prototaip Intel Galileo untuk memberi lebih banyak fungsi. Selain itu, Intel mempamerkan Compustick, sistem komputer lengkap dalam bentuk pemacu USB yang boleh disambung pada skrin dan monitor kemudiannya terus beroperasi seperti komputer biasa.
Google juga menjadikan IoT sasaran baru mereka. Ia dapat dilihat dengan penghasilan kereta Google yang berjaya memenangi hak cipta paten kereta tanpa pemandu sepenuhnya di Amerika Syarikat. Kecanggihan dan keunikan kereta ini terletak pada keupayaan sistem perisian yang dibantu dengan aplikasi sambungan Internet.
Kenderaan dilengkapi dengan pengesan laser pengimbas 360 darjah dalam radius 183 meter untuk mendapatkan pemetaan 3D sekeliling dan kemudiannya bergerak sendiri apabila destinasi sudah ditetapkan menerusi sistem kedudukan pengesan global (GPS) dan sistem keselamatan lain yang diaktifkan.
Radar akan mengesan kelajuan kenderaan di hadapan manakala satu unit pemprosesan berkeupayaan tinggi akan menilai aktiviti pergerakan kereta Google dan kenderaan lain. Aktiviti kenderaan lain akan dikongsi bersama dalam satu sistem mewujudkan jaringan perhubungan antara kenderaan lain. Ini membolehkan hala tuju kenderaan, kelajuan dan kedudukan kenderaan dapat dikenal pasti.
Disebabkan IoT kini menjadi semakin sinonim dengan semua perkakasan pengguna masa kini yang berhubung dengan Internet, ia sekali gus mendekatkan pengguna dengan perkakasan tanpa memerlukan sentuhan fizikal. Kemunculan peranti, perkakasan dan bandar pintar semakin banyak diperkatakan masyarakat kini dan turut digerakkan inisiatif kerajaan.
Untuk memudahkan penghasilan, penyediaan dan pelaksanaan IoT kepada masyarakat umum, satu model rujukan ‘point to point’ yang menggabungkan perhubungan dan keselamatan pada IoT perlu dibangunkan.
Berdasarkan sistem terbabit, inovasi dapat dibawa ke pasaran umum dengan lebih pantas manakala kerumitan sistem dapat dikurangkan dan menjadi semakin mudah untuk dilaksanakan berulang kali. Sebagai contoh, syarikat hartanah Rudin Management di New York mengembangkan perkhidmatan mereka menggunakan sistem tenaga pintar pada bangunan mereka.
Dalam setahun, mereka mampu menjimatkan lebih RM3.6 juta apabila IoT membantu mereka berubah dari syarikat hartanah kepada syarikat teknologi pintar hartanah terutama berkaitan kawalan seperti penggunaan elektrik dan sebagainya.
IoT akan merubah apa anda lihat sekarang dalam tempoh kurang dua tahun. Ia sudah pun dilihat secara prototaip dan produk sebenar melangkaui industri seperti peralatan elektrik, rumah pintar, kilang pintar, perubatan pintar, tempat letak kereta pintar, jalan pintar dan bermacam lagi.
Ia dibantu dengan penggunaan pelbagai sensor dan peranti yang berhubung ke cloud melalui Internet, memproses data yang diterima dan menghantar semula data diproses. Menariknya, semua proses ini boleh diselia melalui pelbagai peranti yang digunakan pengguna biasa. Hanya satu saja persoalan kepada masyarakat, adakah kita sudah bersedia dengan ledakan IoT nanti?
0 comments:
Post a Comment