Romelu Lukaku menutup mulut pengkritik yang meragui kemampuannya berdepan lawan hebat dengan menjaringkan gol dan membantu gol kemenangan Jesse Lingard ketika Manchester United bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Chelsea 2-1 semalam.
Lukaku tidak menjaringkan sebarang gol dalam enam perlawanan terdahulu berdepan enam pasukan terbaik Liga Perdana Inggeris bersama United mencetuskan andaian bahawa dia hanya mampu membuli pasukan lemah.
Bagaimanapun Lukaku kini menjaringan 22 gol dalam semua kejohanan sejak berpindah dari Everton Julai lalu dengan bayaran £75 juta (RM410.2 juta). “Ia tidak teruk tetapi anda sentiasa boleh perbaiki,” kata Lukaku mengenai jaringannya setakat ini.
“Saya ingin melakukan yang terbaik untuk pasukan. Pada akhirnya, saya berada di Manchester United dan mahu memenangi trofi. Itu yang penting.”
Pengurus United Jose Mourinho begitu berlebih-lebihan dalam memuji Lukaku apabila prestasi peribadinya membayangkan aksi tuan rumah selepas ketinggalan kepada Chelsea.
Pasukan pelawat mendahului menerusi jaringan Willian sebelum setengah jam perlawanan ketika United sekali lagi gagal mendapatkan aksi terbaik daripada Alexis Sanchez dan Paul Pogba dalam formasi baru di bahagian tengah.
Namun Lukaku meledak gol enam minit sebelum separuh masa apabila berjaya menyempurnakan hantaran Anthony Martial. Dia hampir menjaringkan gol kedua apabila sepakan guntingnya berjaya diselamatkan Thibaut Courtois pada separuh masa kedua.
Namun Courtois gagal melakukan sesuatu apabila Lukaku mempamerkan kemampuannya di luar kawasan penalti untuk melakukan hantaran yang berjaya disempurnakan Lingard.
0 comments:
Post a Comment