Polis Sarawak berjaya menahan 160 individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan perjudian haram menerusi 97 serbuan berasingan yang dilakukan sepanjang minggu lalu. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, kesemua kaki judi termasuk lapan warga asing yang ditahan mulai 5 hingga 11 Februari lalu berusia antara 16 hingga 61 tahun.
Menurutnya, kesemua serbuan di 24 daerah negeri ini melibatkan premis menjual loteri haram serta pusat judi dalam talian yang beroperasi di kedai serbaneka 24 jam dan kedai kopi. Menurut beliau, hasil risikan, pasukan polis turut menyerbu beberapa rumah persendirian dan tempat awam yang dijadikan pusat perjudian holo.
"Tangkapan kesemua 160 kaki judi terbabit sepanjang minggu lalu merupakan kejayaan terbesar yang direkodkan dalam tempoh seminggu setakat ini. Polis juga berjaya merampas pelbagai peralatan perjudian serta wang tunai berjumlah RM45,649 dipercayai hasil kegiatan judi haram tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Dev memberitahu, jumlah serbuan paling tinggi dilakukan di Miri iaitu sebanyak 35 serbuan diikuti Kuching (10), Betong (9), Padawan (7) serta masing-masing empat serbuan di Sibu dan Bintulu. "Kes ini disiasat mengikut Akta Perjudian Rumah Terbuka 1953," ujarnya lagi.
0 comments:
Post a Comment