My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 23 February 2018

    Jalan Tengah Hasilkan Filem KL Special Force



    Gabungan dua beranak ini tidak dinafikan cukup kuat. Dulu si bapa mencipta sejarah dalam industri perfileman tempatan, kini si anak pula mengikut jejak langkah tetapi jauh ke depan dari segi penceritaan dan teknologi. Siapa tidak mengenali pengarah dan penerbit muda, Syafiq Yusof dan bapanya, Datuk Yusof Haslam yang juga pengarah serta pemilik Skop Production Sdn Bhd. 

    Jika dibandingkan Syafiq dengan abangnya, Syamsul, Syafiq dilihat lebih fokus kepada kerjaya pengarahan dan penerbitan. Sebagai bapa dan ‘bos’, perkara ini diakui Yusof. Menurutnya, walaupun Syamsul juga pengarah berbakat besar, tetapi mempunyai banyak cabang seni lain yang turut diteroka seperti nyanyian dan lakonan.

    “Sebagai bapa, Syafiq dan Syamsul memang tidak sama gaya dengan saya. Syafiq terkenal sebagai pengarah yang suka ‘twist’ plot. Tak macam saya yang lebih suka cerita yang terus sahaja. Pada mulanya bimbang juga sebab ia membabitkan isu polis dan keselamatan tapi apabila sudah melihat sendiri, saya rasa lega,” katanya mengenai filem terbaru KL Special Force arahan Syafiq.

    Untuk filem itu, beliau dan anaknya naik turun lebih tiga kali ke Bukit Aman bagi mendapatkan persetujuan bersama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Katanya, mereka perlu memahamkan PDRM mengenai penceritaan dan perwatakan bahawa filem adalah gabungan antara realiti dengan fantasi.

    Disebabkan itu, mereka mengambil jalan tengah supaya penceritaan filem tidak mencalar reputasi bersih PDRM. “Saya terangkan juga, walaupun banyak filem luar negara meletupkan kereta polis tapi realitinya perkara itu tidak berlaku pun.

    “Barisan pelakon utama yang memegang watak pegawai polis tidak mengenakan seragam rasmi kerana tidak mahu penonton salah faham apabila mereka menontonnya kelak,” katanya.

    Pelakon yang membawa karakter pegawai polis diberi watak melakukan penyamaran kerana dengan cara itu saja mereka tidak perlu memakai pakaian seragam polis. Syafiq berkata, ada beberapa elemen yang mahu dimasukkan ke dalam filem itu tetapi tidak dipersetujui PDRM. Antaranya gaya dan sikap yang sesuai dengan watak tetapi tidak sesuai dengan etika.

    “Penggunaan perkataan kasar pun tidak dibenarkan. Sebab itulah beberapa perubahan kecil perlu dilakukan supaya tidak mengganggu jalan cerita,” katanya.

    Dari segi aksi, Syafiq berbangga dengan semua pelakon yang rata-rata melakukan aksi lagak ngeri sendiri. Walaupun 12 ‘stunt double’ disediakan untuk babak aksi, kebanyakannya dilakukan sendiri pelakon dengan tunjuk ajar mereka.

    Bagi babak tembak-menembak pula, PDRM banyak membantu dengan menyediakan khidmat nasihat dan pemantauan. “Setiap babak tembak-menembak dipantau PDRM. Walaupun menggunakan peluru kapur, mereka akan pastikan setiap senjata diurus dengan betul dan berhati-hati.

    “Pelakon juga tidak dibenarkan ‘bermain-main’ dengan senjata termasuk bergambar untuk dimuat naik di laman sosial masing-masing,” katanya. Apa yang menarik, dalam filem ini terdapat 10 kenderaan mewah diletup dan diterbalikkan.

    Gerak Khas dijadikan panduan 

    Sama ada disedari atau tidak, perkataan Special Force bermaksud Gerak Khas. Syafiq tidak menafikan KL Special Force menjadikan siri drama Gerak Khas yang dicipta Yusof sebagai panduan. “KL Special Force adalah cawangan fiksyen yang diwujudkan untuk menangkap kumpulan perompak di dalam filem ini. Itu sahaja.

    “Cawangan itu tidak wujud pun dalam PDRM. Ia sekadar sebuah fantasi dalam wayang dan perlu diperjelaskan kepada semua pihak terbabit,” katanya.

    Ia sama dengan cawangan Gerak Khas yang wujud dalam drama Gerak Khas yang cukup popular di TV2 sejak 1999 itu. Menurut Syafiq, Yusof sudah membincangkan perkara itu dengan PDRM ketika mula-mula mahu menerbitkan drama itu pada awal 1990-an. Katanya, cawangan itu hanyalah fiksyen. Sebagai penerbit dan pengarah, untuk merealisasikannya bukan mudah.

    Sehingga kini, mereka masih mendapatkan persetujuan dan khidmat nasihat PDRM supaya ia tidak merosakkan reputasi mana-mana pihak. KL Special Force bergenre aksi drama kepolisan yang akan menemui penonton pada 8 Mac depan ini menelan belanja RM4 juta.

    Ia menampilkan pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor, Syamsul Yusof, Tania Hudson, Puteri Balqis, Mustaqim Bahadon, Josiah Hogan, Fattah Amin, Shaharudin Tambi dan Esma Danial.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Jalan Tengah Hasilkan Filem KL Special Force Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top