Proses pembelajaran sekumpulan murid dalam sebuah bilik darjah di Sekolah Agama Negeri (SAN) Kampung Gadong, dekat sini, dikejutkan dengan kehadiran seekor monyet liar yang masuk ke bilik berkenaan, kelmarin.
Dalam kejadian jam 2.20 petang, guru besar sekolah berkenaan Mohd Sahmilin Safari, 56, turut bernasib baik apabila dia segera beredar ketika haiwan itu mula menunjukkan reaksi agresifnya sebelum bertindak menghubungi talian kecemasan 999 meminta bantuan bagi menangkap haiwan berkenaan.
Menurutnya, pada mulanya dia diberitahu guru bertugas mengenai kekecohan di sebuah bilik darjah tahun lima yang terletak di bangunan lama sekolah itu selepas terdapat seekor monyet liar menyelinap masuk ke dalam bilik darjah melalui siling.
“Sebaik tiba di bilik darjah sekolah itu, murid kemudian menunjukkan saya lokasi monyet itu bersembunyi. Tanpa berlengah, saya kemudiannya bergegas melakukan pemeriksaan dengan menaiki siling sambil menjenguk kepala untuk melihat haiwan itu.
“Alangkah terkejutnya apabila mendapati monyet itu hanya berada di sebelah kepala saya dan mulai menunjukkan reaksi agresif dengan menunjukkan taringnya...saya kemudian cepat-cepat beredar kerana risau diterkam,” katanya, semalam.
Mohd Sahmilin berkata, ini adalah kejadian kedua sekolah itu dimasuki monyet sejak beberapa bulan lalu. Tambahnya, dia dan guru bersyukur kerana tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku memandangkan seramai 151 murid tahun satu hingga lima sedang mengikuti pembelajaran ketika insiden berkenaan.
“Kehadiran monyet liar itu di sekolah ini disedari sejak beberapa bulan lalu namun cubaannya untuk menyelinap masuk tidak berjaya kerana dihalau oleh pengawal keselamatan bertugas. Meskipun masih terkejut saya bersyukur tiada sebarang kemalangan berlaku. Kami amat berterima kasih terhadap tindakan pantas Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) Beaufort menangkap haiwan liar berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Pegawai APM Beaufort Usman Harto berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.35 petang sebelum dua anggota APM dikejarkan ke tempat kejadian untuk operasi menangkap monyet liar itu.
“APM Beaufort pada mulanya terpaksa bertungkus-lumus untuk menangkap monyet berkenaan yang didapati bersembunyi di atas siling sebelum lolos ke bahagian atap bangunan sekolah agama berkenaan.
“Bagaimanapun, kita akhirnya berjaya menangkap monyet liar itu dan operasi ditamatkan pada jam 5.29 petang,” katanya. Katanya, monyet terbabit sudah dibawa ke Pejabat APM Beaufort untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada Taman Hidupan Liar Zoo Lok Kawi.
0 comments:
Post a Comment