My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 4 December 2017

    Palsu Ubat Penting



    Harapan untuk pulih menggunung menyebabkan segelintir pesakit kronik yang terdesak sanggup mengeluarkan belanja tinggi bagi membeli produk ajaib yang didakwa mampu menjadi penawar 1,001 penyakit. 

    Walaupun dakwaan produk kesihatan yang diiklankan itu tidak masuk akal, masih ramai pesakit terpedaya untuk menggunakan produk terbabit tanpa mengetahui kesan buruknya terhadap tubuh mereka.

    Selepas menggunakan produk yang dikatakan lebih mujarab daripada ubat yang dicipta oleh syarikat farmaseutikal di makmal lebih canggih dan terkini, tahap kesihatan pesakit masih sama, malah ada antara merekamenjadi bertambah buruk hingga perlu mendapatkan rawatan di hospital.

    Akhirnya, pesakit disahkan semakin tenat dan lebih mendukacitakan apabila mereka meninggal dunia akibat kesan sampingan yang serius. Penjual produk ajaib pula mula menghilangkan diri selepas mengaut keuntungan.

    Berdasarkan kajian terbaru Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan satu daripada 10 produk perubatan yang dijual di negara berpendapatan rendah dan sederhana didapati sama ada tidak mendapat kelulusan atau dipalsukan. Ini bermakna pesakit mengambil ubat yang gagal merawat atau mencegah penyakit.

    Keadaan ini bukan sahaja pembaziran wang buat individu dan sistem kesihatan yang membeli produk terbabit, juga produk perubatan yang kurang bermutu atau palsu boleh menyebabkan penyakit bertambah parah atau mengundang maut. WHO menerima kira-kira 1,500 laporan kes membabitkan produk palsu terutama ubat antimalaria dan antibiotik.

    Sebanyak 42 peratus aduan kes dilaporkan dari rantau Afrika, 21 peratus dari Amerika dan 21 peratus lagi membabitkan negara Eropah. Ini adalah sebahagian kecil pecahan daripada keseluruhan masalah berikutan banyak lagi kes didapati tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.

    WHO turut menerima lapan peratus aduan dari rantau Pasifik Barat, enam peratus dari Mediteranean Timur dan dua peratus lagi dari Asia Tenggara.

    Penolong Ketua Pengarah Akses Ubat, Vaksin dan Farmaseutikal WHO, Dr Mariangela Simao berkata, kebanyakan produk perubatan yang dipalsukan adalah ubat penting dan tidak hanya mempunyai kesan yang tragis terhadap pesakit dan keluarga mereka, malah ancaman terhadap rintangan antimikrobial.

    “Sebelum 2013, WHO tidak menerima laporan mengenai masalah ini. Namun, sejak kami menubuhkan sistem pengawasan dan pemantauan global untuk produk perubatan palsu, banyak negara tampil dan kini aktif melaporkan ubat, vaksin dan alat perubatan yang mencurigakan.

    “Kami juga melatih 550 pengawal selia daripada 141 negara untuk mengesan dan bertindak balas terhadap isu ini,” katanya dalam kenyataan akhbar, baru-baru ini. Katanya, WHO menerima laporan mengenai produk perubatan palsu untuk rawatan kanser dan ubat kontrasepsi (pencegah kehamilan).

    Pemalsuan tidak terhad pada ubat bernilai tinggi atau jenama terkenal dan turut membabitkan ubat generik dan ubat yang dipatenkan. Bersempena dengan laporan pertama daripada sistem pengawasan dan pemantauan global berkenaan, WHO menerbitkan kajian yang menganggarkan kadar kegagalan 10.5 peratus dalam semua produk perubatan yang digunakan di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

    “Kajian ini dibuat berdasarkan lebih 100 penyelidikan mengenai tinjauan kualiti ubat yang dijalankan di 88 negara membabitkan 48,000 sampel ubat. Bagaimanapun, kami memerlukan lebih banyak penyelidikan untuk menganggarkan dengan lebih tepat ancaman yang ditimbulkan oleh produk perubatan palsu.

    “Berdasarkan 10 peratus anggaran ubat palsu, satu latihan pemodelan dibangunkan oleh Universiti Edinburgh menganggarkan bahawa 72,000 hingga 169,000 kanak-kanak mungkin mati setiap tahun akibat pneumonia disebabkan penggunaan antibiotik palsu.

    “Model kedua dibangunkan oleh London School of Hygiene dan Tropical Medicine pula menganggarkan 116,000 kematian akibat malaria di negara pinggir SaharaAfrika setiap tahun mungkin disebabkan penggunaan ubat malaria palsu membabitkan kerugian AS$38.5 juta (RM157 juta) untuk penjagaan lanjut kerana kegagalan rawatan,” katanya.

    Beliau berkata, produk perubatan palsu mampu sampai kepada pesakit berikutan kekangan kemampuan peralatan dan keupayaan teknikal untuk menguatkuasakan piawaian kualiti dalam pembuatan, pembekalan dan pengedaran.

    Produk yang dipalsukan, sebaliknya cenderung untuk diedarkan di negara yang tidak menguatkuasakan undang-undang ketat terhadap pemborong, pengedar, peruncit dan penyedia penjagaan kesihatan tidak beretika. Sebahagian besar kes yang dilaporkan kepada WHO berlaku di negara yang mempunyai akses terhad kepada produk perubatan.

    “Malah, kaedah pembelian moden seperti farmasi dalam talian dengan mudah boleh mengelakkan pengawasan undang-undang berkaitan. Ini banyak berlaku terutamanya di negara berpendapatan tinggi, tetapi lebih banyak kajian diperlukan untuk menentukan kadar dan impak penjualan produk perubatan palsu.

    “Dunia tanpa sempadan menyebabkan kerajaan semakin sukar untuk mengawal selia produk perubatan. Ramai pengeluar produk palsu menghasilkan ubat dan mencetak pembungkusan di negara yang berlainan sebelum dihantar ke negara sasaran untuk dijual. Mereka juga beroperasi menggunakan syarikat dan akaun bank asing untuk memudahkan penjualan ubat yang dipalsukan. 

    “Secara akar umbinya ini adalah masalah global dan negara berkaitan perlu menilai tahap masalah di tempat sendiri selain bekerjasama antara global untuk mengelakkan pengedaran produk perubatan palsu,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Palsu Ubat Penting Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top