Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) optimis nilai transaksi jualan runcit di semua lapangan terbang kendaliannya mencapai pertumbuhan positif disokong peningkatan penumpang sekitar 6.3 peratus tahun ini.
Pengarah Urusannya, Datuk Badlisham Ghazali berkata, tahun lalu nilai transaksi jualan runcit di semua lapangan terbang kendalian MAHB mencecah RM1 bilion. Katanya, terdapat premis peruncitan di lapangan terbang berkenaan yang turut mencatat kenaikan jualan sebanyak 24 peratus tahun lalu berbanding tempoh sebelumnya.
“Dengan jangkaan pertumbuhan penumpang tahun ini, kita menjangkakan nilai transaksi akan meningkat sebanyak 15 peratus. Selain itu, faktor promosi dan penawaran produk menarik juga mampu menjadi pemacu kepada jumlah transaksi lebih tinggi di semua lapangan terbang kendalian MAHB,” katanya kepada media selepas majlis perasmian produk Seri Pinang di Agrobazaar klia2 di sini.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian (FAMA) Tan Sri Badruddin Amiruldin dan Pengerusi Jawatankuasa Focus Group Pembangunan Usahawan dan Koperasi Bumiputera Pulau Pinang, Datuk Dr Muhammad Farid Saad.
Sementara itu, Badruddin berkata, FAMA menjangkakan produk keluaran usahawan itu di KLIA dan klia2 mencecah RM3 juta tahun ini. “Menerusi Agrobazaar dianjurkan di KLIA dan klia2 yang disertai Jawatankuasa Focus Group Pembangunan Usahawan dan Koperasi Bumiputera Pulau Pinang mulai semalam, kita jangkakan nilai urus niaga mencecah RM300,000.
“Selain itu, kita juga mendapat sokongan daripada agensi seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), FELDA, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) dan Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) yang mana turut memberi kepercayaan kepada Agrobazaar klia2 bagi membantu mempromosikan produk mereka,” katanya.
Sempena Agrobazaar yang dikenali Joyful Malaysia@KLIA & klia2 bermula Februari hingga 4 Mac ini, produk Seri Pinang akan menawarkan 67 SKU daripada 22 usahawan, selain turut membabitkan persembahan dan demonstrasi kebudayaan.
Program itu adalah kelangsungan daripada promosi negeri lain yang pernah menyertainya seperti Perak, Melaka, Johor, Selangor, Kelantan dan Terengganu pada tahun 2017.
0 comments:
Post a Comment