Ketika
membincangkan adat istiadat pertabalan Ke Bawah Duli Sultan Perak yang akan di
langsungkan pada 6hb Mei 2015 ini, penulis sangat terkesima dengan beberapa
adat dahulu kala yang masih hidup sehingga kini. Namun begitu, ada antara
adat-adat itu berbau syirik, lebih-lebih lagi melibatkan penggunaan nama-nama
sakti dunia makhluk halus. Namun begitu, moga-moga diharapkan segala Majlis Istiadat
itu hanyalah sekadar adat mengikut tradisi Kesultanan Melayu Perak, tanpa
dicampur aduk dengan kepercayaan tahyul dan penuh mistik.
Penulis
pasti Mufti Negeri Perak, Datuk Harussani yang turut sama terlibat dalam
istiadat itu lebih mengetahui soal hukum. Tapi benarkah begitu? Atau memang
terdapat unsur-unsur mistik yang percaya “kalau tak buat itu tak boleh nanti
penunggu marah” atau “kalau tenggelam keris itu maka Sultan tak berdaulat.”
Kepercayaan-kepercayaan begini jelas bercanggah dengan syariat Islam dan
mestilah dijauhi. Tetapi adat yang diwarasi seharusnya terus dipelihara agar
menjadi lambang kemasyhuran Kesultanan Negeri Perak Darul Ridzuan. Bayangkan
kalau pertabalan Sultan hanya sekadar angkat sumpah dan tanda tangan sekeping
kertas, seumpama perlantikan Menteri Besar adanya.
Suka untuk penulis
kongsikan bersama anda siri-siri istiadat yang bakal berlangsung dalam masa
terdekat. Untuk makluman, majlis istiadat yang berlangsung tempoh hari di
hadapan jenazah Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan
Yusuf Izzuddin Ghafarullah hullahu Shah bukanlah satu istiadat pertabalan
sebaliknya hanyalah istiadat pengisytiharan Sultan yang baru dilantik oleh
Dewan Negara Negeri Perak selepas kemangkatan Sultan, yang juga merupakan satu
proses tradisi dalam Kesultanan Perak.
Selepas
kemangkatan Sultan, Dewan Negara Negeri Perak yang dianggotai bakal-bakal
Sultan (Raja Muda dan Raja Di-Hilir), seorang wakil Raja-Raja Bergelar (dari
kalangan Raja Kecil Besar, Raja Kecil Sulong, Raja Kecil Tengah dan Raja Kecil
Bongsu), Menteri Besar, Orang Besar Berempat, Orang Besar Delapan dan Mufti
sebagai ahli-ahli rasmi dan sebelas ‘orang tua’ (ahli kerabat) dan seorang yang
bukan Melayu sebagai ahli-ahli bukan rasmi akan bermesyuarat untuk menentukan
Sultan yang seterusnya.
Bersambung…….
JSJM
0 comments:
Post a Comment