Selain daripada istiadat pertabalan rasmi di Balairong Seri Istana Iskandariah Bukit Chandan, istiadat pertabalan Sultan Perak juga memerlukan beberapa aktiviti luar yang cukup menarik mengikut adat istiadat yang diwarisi sejak pertabalan Sultan pertama berdasarkan sejarah di atas di bahagikan kepada beberapa istiadat iaitu Istiadat Tabal Adat, Tabal Pusaka atau Tabal Jin, Menziarah Makam-Makam sehingga Beting Beras Basah.
ISTIADAT TABAL ADAT
Di Istana
Iskandariah, Istiadat Tabal Adat dimulakan dengan Dato’ Pengelola Bijaya
diiringi Mufi Kerajaan Negeri membawa Al Quran bersama Raja Chik Muda Pawang
Diraja membawa Pedang Cura Si Manja Kini didahului Panglima Dalam diapit
Panglima Perang Kiri dan Kanan serta Bentara bentara. Baginda Sultan menerima
pedang tersebut dan menghunus lalu mengucup. Setelah itu, Toh Seri Nara Diraja
masuk mempersembahkan Mastika Embun dan menyunting Cap Halilintar ke telinga
kanan Duli membisikkan “Rahsia Nisab Sultan I” diikuti pengisytiharan
Pemasyuran Pertabalan oleh Orang Kaya Bendaha Seri Maharaja. Istiadat
diteruskan dengan pertabalan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan.
ISTIADAT TABAL PUSAKA (TABAL JIN)
Istiadat
Tabal Pusaka (Tabal Jin) dimulakan dengan paluan Nobat Diraja pada sebelah
senja sehari selepas Istiadat Tabal Adat di sempurnakan. Istiadat ini dilakukan
pada waktu malam. Pawang Diraja menatang Pedang Cura Simanja Kini bersama Toh
Seri Nara Diraja menatang Pontoh Bernaga dan Pontoh Ular Lidi didalam talam
berlapikkan kain kuning. Kemudian diikuti pula Bentara Toh Ratna Senari dan
Bentara Toh Ratna Wati mengadap membawa Perkakas Istiadat Merenjis diikuti Toh
Setia Guna (Ketua Nobat) bersama ahli Nobat Diraja masuk ke Balairong Seri
untuk memulakan “istiadat memulih” perkakas kerajaan dan perkakas nobat diraja
dengan merenjis tepung tawar. Setelah selesai, Sohibus Samahah Mufti Kerajaan
Negeri akan menyempurnakan bacaan doa selamat.
Selepas itu
upacara “Bersiram Tabal (Mandi Sampat)” dimulakan Pawang Diraja dari awal
sehingga selesai. Air bersiram ini diambil dari Tujuh Kuala Sungai Perak yang
mempunyai istiadat tersendiri untuk mengambil air ini (Baca di bawah untuk
keterangan lanjut). Kain putih direntangkan dan daun nyiur muda bentuk jari
lipan ditaruhkan ke atas kain putih diregang oleh Toh-Toh Puan ditiap penjuru.
7 geluk ari dari 7 Kuala Sungai Perak disiram dan nobat dipalu sepanjang
istiadat bersiram tabal. Setelah selesai, baginda berdua akan menyalin pakaian
dan berangkat turun dari Penterakna Seri Pancaa Persada berselimut kain benang
emas dan diarak balik ke istana.
Setelah
menukar pakaian, Baginda berangkat masuk Balairong Seri dan bersemayam di atas
Singgahsana. Pada waktu istiadat ini, Nobat Diraja memainkan lagu antara empat
hingga sembilan lagu. Toh Setia Guna (Ketua Nobat) akan memerhatikan gerak geri
Paduka Seri Sultan untuk mengetahui kedaulatan seseorang Sultan. Mengikut adat,
sekiranya Baginda dapat bertahan lama diatas Singgahsana (iaitu lebih tujuh
lagu nobat) ini menunjukkan Baginda direstui Jin-Jin Kerajaan dan baginda akan
memerintah lama atau panjang umur. Akan tetapi, sekiranya Baginda hanya
bertahan empat atau lima lagu, petanda pendek umur (sekadar adat.bukan kepercayaan). Toh Setia Guna akan memberi
isyarat untuk nobat berhenti sekiranya Baginda Sultan kelihatan resah gelisah
di atas Peterakan Singgahsana.
Sewaktu
nobat dipalu, Pedang Cura Simanja Kini akan bergerak-gerak dengan sendiri
seakan-akan hendak keluar dari sarungnya. Ini menunjukkan Jin Kerajaan berserta
dalam Istiadat Tabal Jin dan merestui pertabalan Baginda. Istiadat Tabal Jin
selamat disempurnakan selepas upacara Santapan Nasi Berastonaka dengan bacaan
doa selamat. Istiadat Tabal Jin hendaklah disempurnakan mengikut Adat Istiadat
Pertabalan yang asalnya tanpa menukar ciri-ciri adat asal, barulah diketahui
sama ada direstui Jin Kerajaan Perak yang akan mendampingi Baginda. Kalau
tidak, istiadat tersebut hanyalah satu istiadat biasa.
ISTIADAT MENGAMBIL AIR SIRAM TABAL
Istiadat
mengambil air untuk kegunaan Kebawah Duli Berdua Bersiram Tabal dimulakan
dengan perarakan berkereta dari Pintu Besar Istana Iskandariah bergerak menuju
Tebing Sungai Perak diiringi nobat. Perarakan Tok Setia Guna, Panglima Besar
dan Panglima-Panglima, Toh-Toh Seri Nara di-Raja, Yang Mulia Raja Chik Muda,
Pawang di-Raja, Bentara-Bentara, 7 orang Bomoh yang membawa perkakas istiadat
dan 16 orang Jejawat Berlembing. Perkakas istiadat yang diarakkan ialah 16
Geluk Mas Perak dihiasi dengan daun-daun nyiur muda berjari lipan, Bekas
Perasap, Bekas Beras Kunyit, Bekas Beras Basah, Bekas Bertih, Bekas Tepung
Tawar, Bekas Air Sintuk, Bekas Air Limau, Bekas Air Bunga Panca Bicara dan
Bekas Kemenyan.
Di tebing
Sungai Perak perkakas istiadat dibawa naik ke atas bot. Untuk upacara ini
Panglima-panglima dan Jejawat Berlembing serta Pasukan Nobat di-Raja tidak
mengikuti bersama rombongan. Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal dimulakan di
Kuala Sungai Kangsar oleh Yang Mulia Raja Chik Muda, Pawang di-Raja dan dibantu
oleh Toh Seri Nara di-Raja serta Bentara-bentara dengan mengusap kemenyan,
menabur Beras Kunyit dan merenjis Tepung Tawar di Kuala Sungai, selepas itu
barulah diambil air dan dimasukkan ke dalam sebuah Geluk.
Nobat hanya
dipalu semasa Istiadat Pertama di Kuala Sungai Kangsar. Setelah itu rombongan
akan bergerak ke Kuala-Kuala Sungai yang lain; iaitu
2 – Kuala
Sungai Chepias,
3 – Kuala
Sungai Sayong,
4 – Kuala
Sungai Itam,
5 – Kuala
Sungai Chermin,
6 – Kuala
Sungai Buaya,
7 – Kuala
Sungai Menora,
Setelah
selesai kesemua 16 Geluk, akan dijaga dengan baik dan semua rombongan kembali
semula ke Pengkalan disambut dengan penuh Istiadat. Setelah sampai di Balai
Panca Persada semua Jejawat Berlembing berbaris semula. Yang Mulia Raja Chik
Muda, Pawang di-Raja, Toh Seri Nara di-Raja, Bentara-Bentara dan bomoh-bomoh
membawa perkakas Istiadat naik ke Balai Panca Persada disambut oleh Panglima
Dalam dan Bentara-Bentara Perempuan, untuk disimpan.
Sehari
selepas Tabal Paduka Seri Sultan dan Raja Permaisuri serta pengiring-pengiring
Baginda berdua akan menziarahi Makam di-Raja di seluruh Negeri Perak. Di
antaranya termasuklah Makam Tok Temong, Makam Kota Lama Kanan, Makam Sayong,
Makam di-Raja Bukit Chandan dan Makam Teja. Kemudian Baginda berdua akan
berangkat menaiki Balai Gambang bernama “Chempaka Sari” lalu menghilir untuk
menziarahi Makam Marhum-marhum yang terdahulu yang dimakamkan di sepanjang
Sungai Perak hingga ke Teluk Intan.
Selepas
mendarat di Teluk Intan, Paduka Seri Sultan akan kemudiannya berangkat ke
Beting Beras Basah sementara Raja Permaisuri akan beristirehat di Teluk Intan
dengan membawa bersama Baginda Alat-alat Perkakas Kerajaan. Mengikut adat, kaum
wanita tidak boleh beserta Paduka Seri Sultan ke Beting Beras Basah dan
Alat-alat Perkakas Kerajaan tidak boleh dibawa ke laut. Beting Beras
Basah ialah tempat mula-mula Sultan Mudzaffar Shah iaitu Sultan yang pertama
negeri ini, berhenti tatkala sampai dari Kampar, Sumatera pada tahun 1528.
Istiadat menziarahi Makam-makam berakhir di Beting Beras Basah dengan Sultan
membasuh muka dan mencelup kaki serta doa kesyukuran
JSJM
0 comments:
Post a Comment