Filem dari Amerika Syarikat (AS) yang menyentuh tragedi terpenting dalam sejarah dan membabitkan pengganas tidak dinafikan menimbulkan keraguan buat sesetengah orang. Unsur pesimis pasti terbit membabitkan ideologi yang cuba disampaikan mereka.
Bagaimanapun, filem 12 Strong arahan Nicolai Fuglsig yang menjengah panggung sejak semalam bukan naskhah yang berat sebelah. Meskipun berkisar tragedi 11 September, Afghanistan, Taliban dan Al-Qaeda, garapannya begitu meyakinkan.
Ia sebuah karya mengenai hero tidak didendang yang dirahsiakan daripada umum sebelum ini dan adaptasi daripada novel Horse Soldiers (Doug Stanton). Tidak menyentuh pun mengenai sensitiviti mana-mana pihak, sebaliknya filem itu penuh dengan permainan emosi.
Menampilkan Chris Hemsworth memegang watak utama sebagai Kapten Mitch Nelson juga antara alasan kuat untuk menonton filem itu. Sisi berbeza jauh lebih matang, tegas, rapuh, aktor yang popular dengan karakter Thor itu terserlah lebih realistik.
Mengetuai pasukan Operational Detachment Alpha 595 (ODA 595) yang dihantar untuk sebuah misi di Afghanistan bersama 11 lagi askar lain, semangat mereka melangkaui segalanya demi perjuangan menentang Taliban di sana. Meskipun tahu bahaya yang bakal menanti dan sedia berdepan sebarang kemungkinan, mereka tiada sebab untuk berpatah balik.
Kapten Mitch juga memiliki pasukan yang sanggup sehidup semati. Bukan mahu menunjukkan askar AS hebat atau merekalah yang terbaik, pengarah memberikan keadilan pada naskhah itu. Nicolai mengambil pendekatan memaparkan proses ODA 595 bertempur semata-mata.
Dalam pada itu, dia juga tidak mengetepikan butiran kecil yang berlaku sepanjang misi berkenaan. Nilai persahabatan yang dibina antara pasukan itu dengan askar General Abdul Rashid Dostum (General Dostum) nyata menyentuh emosi. General Dostum yang menjadi satu-satunya sandaran melunaskan misi itu pada mulanya memberi kesukaran kepada pasukan Mitch.
Antara kepercayaan dan keraguan, mereka perlu reda jika Dostum adalah individu tepat memimpin mereka di sana. Perbezaan misi dan pendapat yang tercetus sememangnya memberikan ketegangan sekali gus terkesan pada perjalanan mereka. Bagaimanapun, daripada situlah mereka belajar mengenali dan memahami diri masing-masing.
Perlu diakui, terlalu banyak mesej baik yang ditonjolkan dalam filem ini. Daripada awal lagi sewaktu pasukan itu ditugaskan untuk ke Afghanistan, elemen kekeluargaan yang kukuh berjaya menjentik emosi. Kemudian, nilai semangat setia kawan yang kuat dalam setiap anggota ODA 595 juga mengingatkan kita bahawa saling menyokong sesama sendiri adalah sangat penting.
Begitu juga dengan nilai saling menghormati tanpa mengira pangkat juga sama penting. Melihat kepada perjuangan mereka, sukar untuk tidak merasai sendiri situasi yang dialami dalam setiap pertempuran.
Pengarah benar-benar berjaya menghidupkan suasana itu sehingga membuatkan jantung berdegup laju. Terutama sewaktu mereka semakin hampir dengan pejuang Taliban yang diketuai Komander Ahmed Lel, setiap saat adalah nyawa terakhir mereka. Namun, mereka tidak memikirkan kematian sebaliknya berjuang hingga titisan darah terakhir.
Sesuai dengan temanya hero tidak didendang, sukar untuk tidak mempersoalkan kenapa tiada antara mereka yang terkorban. Bagaimanapun, itulah realitinya sewaktu misi itu berlangsung mengikut kisah sebenar. Paling penting, mereka hanya berbekalkan senjata dan kuda dalam pertempuran itu.
Bukan menggunakan kenderaan berteknologi tinggi atau kereta kebal, sebaliknya menunggang kuda jadi mod pergerakan utama. Daripada aspek teknikal, tidak banyak yang boleh dipertikai. Sinematografinya juga hidup dan melihat kepada geografi yang ditunjukkan, perhatian hanya tertumpu kepada pergerakan mereka.
Turut membintangi 12 Strong adalah Michael Shannon, Michael Pena, Navid Negahban, Trevante Rhodes, Geoff Stults, Thad Luckinbill, William Fitchner, Rob Riggle, Elsa Pataky, Austin Stowell, Ben O’Toole dan ramai lagi.
0 comments:
Post a Comment