Tiga orang disahkan terbunuh, manakala sekurang-kurangnya 18 yang lain cedera apabila sebutir bom motosikal meletup di sebuah pasar di wilayah bergolak Yala, selatan Thailand kira-kira pukul 6.30 pagi (waktu tempatan) semalam.
Ketua Polis Yala, Mejar Jeneral Krisada Jandee yang mengesahkan kejadian itu berkata, serangan berlaku di Pasar Pimonchai yang terletak di pusat bandar Yala ketika pelanggan sedang sibuk membeli barang keperluan.
“Dua daripada mangsa maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Yala,” katanya kepada pemberita semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muang, Kolonel Prawit Soseng berkata, bom yang diletakkan pada sebuah motosikal itu dianggarkan memiliki berat antara 20 kilogram (kg) hingga 30kg. Bahan letupan itu diletupkan menggunakan alatan pemasa. Menurutnya, sehingga kini belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan tersebut.
Kejadian semalam merupakan serangan berskala besar pertama menyasarkan pusat bandar Yala dalam tempoh dua tahun. Pergolakan bersenjata di selatan Thailand terutamanya di wilayah Yala, Pattani dan Narathiwat bermula pada awal tahun 2000 dan sehingga kini telah menyebabkan lebih 7,000 orang terbunuh dengan ribuan lagi cedera.
Angka kematian akibat pemberontakan di selatan Thailand pada tahun 2017 adalah 235 orang sekali gus paling rendah sejak konflik 13 tahun itu tercetus. Jumlah kematian rendah itu antara lain berpunca daripada kemajuan rundingan damai dengan pemberontak dan langkah kerajaan Thailand mengetatkan kawalan keselamatan wilayah bergolak.
0 comments:
Post a Comment