Polis menahan tiga lelaki tempatan di dua lokasi berasingan dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri trak pikap, motosikal dan komputer riba di sini. Ketua Polis Bintulu Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, tangkapan pertama melibatkan penahanan seorang suspek lelaki berusia 26 tahun dalam serbuan dilakukan di sebuah rumah flat Jalan Tanjung Kidurong pada 3.30 pagi Jumaat lepas.
“Hasil pemeriksaan serta siasatan, polis merampas sebuah motosikal Yamaha, komputer riba dan pengecas komputer riba yang dipercayai dicuri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zulkipli berkata, motosikal yang digunakan suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu serta dilaporkan hilang pada Mei 2013 manakala komputer riba dilaporkan hilang pada Jumaat (19 Jan 2018) di Kidurong.
Bagi tangkapan kedua, beliau berkata dua suspek lelaki berumur lewat 30-an ditangkap semasa sekatan jalan raya di Batu 11 Jalan Bintulu-Miri pukul 4.30 pagi ini dipercayai menggunakan kenderaan pacuan empat roda, menggunakan nombor pendaftaran palsu, yang dicuri di Batu Niah, Miri pada tahun 2016.
0 comments:
Post a Comment