My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 18 January 2018

    Kisah Cinta Ada Kelainan



    Bukan sekadar konflik cinta tiga segi sebaliknya filem Bukan Cinta Malaikat yang diangkat berdasarkan kisah benar mengenai pernikahan yang tidak sah sekali gus menjadi pengajaran buat semua. 

    Lebih menarik filem terbitan Ganesa Perkasa Films dan Ace Motion Pictures Sdn Bhd ini turut memaparkan aktiviti Muslim Care di lokasi sebenar di kawasan peperangan di Syria dan Kem Pelarian di Jordan. Filem ini mendapat sentuhan pengarah terkenal Aziz M Osman dan sutradara dari Indonesia Herdanius Larobu.

    Ia diterajui barisan pelakon hebat kolaborasi Malaysia dan Indonesia iaitu Nora Danish, Ashraf Muslim, Fachri Albar, Donita, Afida Es, Dewi Irawan, Joshua Pandeleki, Iqbal Pakula, Edi Brokoli dan Dewi Amanda.

    Selaku pengarah, Aziz mengakui bertanggungjawab berkongsi kisah benar itu dengan masyarakat. “Ia kisah cinta yang ada kelainan. Saya bersyukur kerana Allah SWT beri ilham untuk buat filem yang memaparkan konflik rumah tangga ini.

    “Saya sudah simpan idea untuk buat filem ini lebih enam tahun dan baru sekarang dapat direalisasikan. Pada masa sama, cerita ini juga memaparkan pengalaman saya ketika menjayakan aktiviti bersama Muslim Care,” katanya.

    Ditanya cabaran ketika menghasilkan filem yang mencecah bajet RM1.2 juta itu, kata Aziz, bukan mudah untuk bikin cerita yang mendapat tempat di hati peminat. “Contohnya, cerita hero dan heroin yang diibaratkan sudah jatuh ditimpa tangga. Sebab itu saya paparkan kisah malang yang berlaku dalam cerita ini dalam situasi teknikal terperangkap.

    “Pada permulaan cerita ini, ia memang daripada kisah benar tetapi apabila watak Dewi mengandung ia imaginasi saya sendiri,” katanya.

    Ditanya pemilihan Fachri pula, kata Aziz, dia sangat berpuas hati dengan prestasi lakonan ditampilkan aktor itu. “Sebenarnya, saya meminati bapa Fachri yang juga penyanyi band legenda God Bless Indonesia, Achmad Albar.

    “Pemilihan Fachri selaku watak utama kerana dia sangat popular kerana lakonannya dalam sinetron Malim Kundang mendapat reaksi penonton di Malaysia sebelum ini. Fachri juga ada aura tersendiri dan dia juga sentiasa tidak puas hati dengan babaknya dan sanggup buat semula berulang kali sehingga suka dengan hasilnya,” katanya.

    Ditanya harapannya terhadap filem ini, Aziz berkata, dia hanya serahkan kepada penilaian penonton. “Saya difahamkan, kutipan filem ini ketika ditayangkan di Indonesia pada 13 Julai tahun lalu okey saja tetapi saya tetap berharap filem ini akan ditonton peminat tempatan.

    “Selaku penerbit, filem ini bukan sekadar ada elemen hiburan sebaliknya mempunyai sesuatu yang ingin disampaikan kepada penonton,” katanya. Ia membabitkan penggambaran di lokasi menarik sekitar Makkah, Madinah, Bandung dan Terengganu. Filem Bukan Cinta Malaikat akan menjengah pawagam seluruh tanah air bermula 25 Januari ini.

    Sinopsis 

    Bukan Cinta Malaikat mengisahkan Reyhan, sukarelawan Muslim Care dari Bandung yang bertugas di wilayah konflik di Timur Tengah.

    Ketika di Madinah, Reyhan bertemu wanita kelahiran Malaysia, Dewi yang memerlukan bantuannya ketika mengerjakan umrah. Reyhan yang belum pernah bercinta akhirnya jatuh hati dengan Dewi hingga membawanya ke Malaysia dan seterusnya melamar Dewi untuk menjadi isterinya.

    Namun, ternyata Dewi sudah mempunyai kekasih iaitu Adam. Sementara, di Bandung pula, Aliyah yang juga teman rapat Reyhan sejak kecil pula masih mengharapkan cintanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kisah Cinta Ada Kelainan Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top