My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 22 January 2018

    Aksi Terbaik Alam Roh


    Setiap filem ada objektif tersendiri dalam menghamparkan visual ke layar. Sama ada untuk hiburan atau meninggalkan kesan kepada kehidupan, ia bergantung pada kehebatan sutradara untuk mencanainya. 

    Melalui , Along With The Gods: The Two World keterlaluan dikatakan ia memiliki dua sisi itu, hiburan dan meninggalkan kesan. Dari segi hiburan, pastinya pada aksi, kesan khas, drama, komedi dan perwatakan.

    Aksinya dianggap terbaik terutama babak dalam alam roh yang ditonjolkan mengikut imaginasi pengarah dan penulis lakon layar. Kesan khasnya pula, walaupun tidak sehebat filem adiwira ciptaan Hollywood, ia tetap berusaha gigih agar sempurna pada mata penonton.

    Begitu juga perwatakan seperti karakter Ja Hong lakonan Cha Tae Hyun. Dia diiringi tiga malaikat maut diketuai Kang Lim (Ha Jung Woo) yang tegas tetapi mempunyai sisi sensitif tersendiri. Namun, bagi penonton yang melihat dengan teliti penyebab yang menggerakkan watak utama adalah keluarga.

    Cinta Ja Hong terhadap ibunya yang pekak bisu dan adiknya yang suka memberontak mendorongnya untuk sentiasa memberikan yang terbaik. Ja Hong mahu kehidupan keluarganya jadi lebih baik ketika hayatnya masih ada. Bagaimanapun, dalam satu operasi menyelamat, dia terkorban dan tidak dapat meneruskan impian membahagiakan keluarganya.

    Bagaimanakah dia dapat meneruskan usaha itu? Tidak ada cara lain kecuali menempuh perjalanan ke alam roh yang sempurna di setiap tujuh pengadilan dewa dewi. Lebih menyokong perjalanan roh adalah emosi yang turut dikendong dalam setiap babak. Rasa sedih, kasihan, geram, terkejut dan marah dirungkai dengan baik serta tersusun.

    Paling menarik pastinya babak akhir ketika mana Ja Hong bertemu dengan ibunya bagi menyampaikan rasa cinta dan kekesalan kerana tidak dapat bersama si ibu ketika hidup. Menerusi babak ini, penonton pasti teresak-esak dan pasti teringatkan ibu masing-masing.

    Persoalan seperti sejauh mana pengorbanan, kasih sayang dan kejujuran dicurahkan kepada ibu akan bermain-main di minda. Rumusannya, Along With The Gods adalah filem wajib tonton seisi keluarga. Jika anda mencari sebuah filem yang ada 1,001 emosi, menghiburkan dan meninggalkan kesan mendalam, karya ini adalah pilihan terbaik setakat ini.

    ALONG WITH THE GODS - THE TWO WORLDS 

    • ARAHAN: Kim Yong Hwa
    • PELAKON: Ha Jung Woo, Cha Tae Hyun, Ju Ji Hoon, Lee Jung Jae dan Kim Hyang Gi
    • GENRE: Aksi/Drama Fantasi
    • TAYANGAN: 18 Januari 2018
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Aksi Terbaik Alam Roh Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top