Pengadil Romania yang terbabit dalam pertemuan play-off Piala Dunia antara Switzerland dan Ireland Utara pada November, mengakui dia melakukan kesilapan memberikan Switzerland penalti kemenangan. “Ia saat yang sedih dan bukanlah sesuatu yang baik buat saya,” kata Ovidiu Hategan kepada televisyen Romania pada malam gala persatuan bola sepak negara itu, minggu ini.
“Sedih kerana saya membuat kesilapan itu dan menyakitkan kerana pada pihak kami, kami perlu menunjukkan persembahan baik. Dalam dunia pengadilan, ia adalah sama dengan penjaga gol: kesilapan anda akan disedari.”
Hategan memberikan Switzerland penalti selepas mengatakan bola terkena tangan Corry Evans dalam kawasan penalti di Windsor Park, walaupun rakaman jelas menunjukkan bola itu terkena bahunya.
Pemain Switzerland, Ricardo Rodriguez menyempurnakan penalti dan Switzerland menang 0-1. Perlawanan kedua di Basel menyaksikan kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan dan Switzerlande mara menerusi keputusan 1-0 secara agregat ke Russia. Justeru impian Ireland Utara bermain di Piala Dunia buat pertama kali sejak 1986 musnah.
Hategan dipilih selaku pengadil terbaik Romania tahun lalu oleh persatuan profesional dan amatur negara itu. Namun dia tidak tersenarai antara 36 pengadil oleh FIFA untuk Piala Dunia kali ini.
0 comments:
Post a Comment