Meskipun tidak memiliki penglihatan sempurna seperti individu lain, pencapaian Nur Feiqha Maulad Mohamed Halil, 23, perlu dibanggakan kerana pernah beberapa kali mengharumkan nama negara dalam sukan catur di peringkat antarabangsa.
Kejayaan itu bukan saja membuktikan dia mampu bersaing walaupun mempunyai kekurangan tetapi memberi inspirasi kepada orang kurang upaya (OKU) yang lain. Bercerita lanjut, Nur Feiqha berkata, dia mula aktif dalam sukan catur ketika di tahun tiga apabila terpilih mewakili peringkat sekolah sehingga berumur 12 tahun.
Tidak terhenti di situ, Nur Feiqha terus diberi peluang oleh guru yang menyedari kemampuannya sehingga layak mewakili negara di Sukan Para ASEAN di Korat, Thailand pada 2007. “Rasa gugup dan gementar bercampur baur memandangkan saya atlet termuda yang layak ke Sukan Para ASEAN ketika itu dan pertama kali bersaing dengan mereka yang lebih berpengalaman.
“Namun, saya cuba juga lakukan yang terbaik dan bersyukur kerana berhasil membawa pulang dua emas untuk kategori individu juga berpasukan.
“Sejak meraih kejayaan itu, saya terus berpeluang mewakili negara dan antara pengalaman paling tidak dapat dilupakan tentunya ketika bertanding di Kuala Lumpur tahun lalu kerana harapan tinggi diletakkan untuk memenangi pingat emas dan mujurlah tidak menghampakan mereka ,” katanya yang mempunyai masalah rabun kategori B2.
Di sebalik kejayaan yang diraih, Nur Feiqha berkata, perjalanannya sebagai atlet OKU tidak semudah disangka kerana perlu berusaha lebih berikutan kekurangan yang ada pada dirinya. Bagaimanapun, pengalaman menyertai kejohanan besar dan bimbingan jurulatih membantunya untuk terus bertahan walaupun pernah terlintas untuk bersara daripada lapangan sukan catur.
“Kelebihan individu normal adalah dapat belajar teknik permainan tertentu melalui Internet namun sebagai atlet OKU, rujukan kami terhad dan terpaksa mengharapkan bimbingan sepenuhnya daripada jurulatih.
“Cabaran lain pula adalah bersaing dengan atlet normal ketika menyertai kejohanan yang kelebihan tentunya pada mereka kerana dapat melihat baki tempoh permainan.
“Mahu tidak mahu, saya perlu bijak mengatur strategi dan fokus sepanjang tempoh permainan untuk mencapai kemenangan,” katanya yang pernah merangkul pingat emas dan gelaran pemain terbaik wanita dalam kejohanan catur peringkat dunia di Korea Selatan pada 2015.
Ditanya mengenai hala tujunya, Nur Feiqha berkata, dia akan terus aktif dalam sukan catur selagi diperlukan kerana sudah sebati dengan permainan berkenaan sejak di bangku sekolah. Katanya, pada masa sama, dia akan turut sama mencari bakat baru untuk dijadikan pelapis sukan catur bagi kategori OKU.
“Saya pemegang diploma perakaunan namun tidak bercadang bekerja dalam bidang itu kerana kesukaran mencari pekerjaan memandangkan kekurangan fizikal yang ada. Jadi, biarlah saya fokus dalam sukan ini dengan menyertai pertandingan catur yang selalunya diadakan setiap minggu jika tiada kejohanan berskala besar.
“Pada masa sama, saya usahakan juga perniagaan menjual pakaian secara dalam talian bagi mendapatkan pendapatan sampingan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment