My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday, 17 January 2018

    Gaya Hidup Lebih Mudah


    Sempena Pameran Pengguna Elektronik (CES 2018) di Las Vegas, Amerika Syarikat bulan ini, media memperlihatkan beberapa teknologi yang dijangka memeriahkan 2018 selain menunjukkan masa depan kepada pengguna. 

    Syarikat pengeluar cip grafik, Nvidia melancarkan pemprosesan kecerdasan pintar (AI), Drive AR sebagai sebahagian projek kenderaan tanpa pemandu Xavier. Selaras dengan pengumuman sempena CES 2018, Nvidia juga mengumumkan kerjasama dengan Uber dan Volkswagen bagi merealisasikan hasrat kenderaan tanpa pemandu.

    Ketua Pegawai Teknologi Nvidia Jensen Huang, berkata kenderaan tanpa pemandu Uber berupaya membuat keputusan pantas seperti mengelak pejalan kaki dan berhenti apabila objek besar melintas di depan.

    “Dalam tempoh beberapa tahun, setiap model kenderaan dijangka menggabungkan teknologi AI untuk arahan suara, pergerakan, pengesan wajah dan realiti maya (AR),” kata Huang. Beliau berkata, kerjasama dengan Volkswagen pula mampu membangunkan kenderaan lebih selamat.

    Sehingga kini, Nvidia mempunyai 25 pengeluar kenderaan dan syarikat pengangkutan yang bersetuju menggunakan teknologi ini dengan sampel pertama akan tiba pertengahan tahun ini. CES 2018 dikejutkan pula dengan pengumuman TV modular 146 inci yang digelar The Wall hasil teknologi Samsung melalui MicroLED.

    TV yang perlu dipasang di dinding itu mempamerkan paparan yang cantik sekali gus sudah pasti merubah cara anda menonton televisyen. Ditambah pula ia boleh dipasang dengan hab pintar seperti pemain media dan sebagainya membolehkan tontonan melalui strim seperti Netflix dan YouTube pada paparan jenis definisi tinggi.

    Tanpa mengehadkan saiz, resolusi dan bentuk, The Wall boleh memancarkan mana-mana kandungan tanpa memecahkan paparannya berdasarkan skala mikrometer LED yang lebih kecil berbanding LED itu sendiri.

    Pengenalan The Wall selaras dengan konsep Samsung tahun ini untuk Smart TV yang bermakna pengguna akan memperoleh keupayaan fungsi Bixby, SmarThings dan Universal Guide dalam semua produk Samsung.

    Bixby misalnya membolehkan interaksi antara pengguna dan TV secara lebih dekat untuk mengetahui tabiat tontonan pengguna berdasarkan antaramuka yang sangat intuitif dan keupayaan analisis suara yang lebih pintar. Kemudian CES 2018 tertumpu pula pada CareOS yang menjadi antara pengumuman penting menghubungkan pelbagai peranti bagi kegunaan dalam bilik air.

    Sistem operasi terbabit membolehkan anda menggunakan peranti seperti pembesar suara, skrin dan pelbagai peranti berkaitan tanpa perlu menyentuhnya kerana operasi dilakukan menerusi arahan suara saja. Misalnya, anda mahu melihat video teknik solek yang akan terus dipancarkan di cermin bilik air atau mengaktifkan lampu tanpa menyentuh suis.

    Ketua Pegawai Eksekutif Kolibree yang memasarkan produk ini, Thomas Serval, berkata lebih banyak peranti dan aplikasi kini berkait rapat dengan kegunaan dalam bilik air atau tandas dan pengguna perlu berinteraksi dengannya tanpa telefon pintar.

    “Dianggarkan pada 2030 sebanyak 125 bilion peranti akan berhubung antara satu sama lain dan kebanyakannya akan digunakan dalam bilik air,” katanya.

    CareOS membolehkan konsumer memantau kesihatan, kecergasan dan rutin kecantikan dengan ciri interaksi tanpa sentuh, arahan suara, pengesan wajah, AI, AR, pencahayaan pintar dan visual 4D (rakaman 3D serta ‘time lapse’). OS ini menjamin ciri keselamatan apabila sistemnya mengunci senario yang berlaku dalam bilik air daripada kebocoran data.

    CES 2018 diteruskan dengan gajet unik termasuk Benjilock yang membolehkan anda mengunci pagar tanpa kunci. Betul! Cara tradisional mengunci pintu, gril rumah kini berbeza apabila Benjilock hanya memerlukan cap jari anda untuk membuka kunci. Benjilock yang mempunyai rekaan mangga kunci biasa mempunyai dua warna iaitu hitam atau putih.

    Model Benjilock menggunakan bateri ion litium bermakna ia juga perlu dicas namun untuk tempoh yang singkat saja. Sehingga kini, Benjilock membenarkan sehingga empat cap jari pengguna pengguna disimpan dalam data mangga ini. Buatan kukuh Benjilock membolehkannya kalis hujan dan persekitaran yang ekstrem dan boleh digunakan di luar rumah.

    Kenderaan pintar terus mencuri tumpuan apabila Toyota memperkenalkan kenderaan tanpa pemandu seakan bas kecil yang beroperasi menggunakan elektrik, e-Palette. e-Palette dikhusukan untuk penggunaan komersil seperti menghantar piza, barang runcit dan perkongsian kenderaan.

    Presiden Toyota, Akio Toyoda, berkata kenderaan elektrik tanpa pemandu itu akan digunakan secara rasmi pada Sukan Olimpik 2020 yang mana Jepun menjadi penganjurnya. “Zaman sekarang, pengguna menuju ke pusat beli-belah untuk membeli barangan tapi pada masa depan kenderaan tanpa pemandu akan menghantarnya terus depan rumah,” katanya.

    Toyota sudahpun menandatangani perjanjian dengan stor mudah alih seperti Amazon, Pizza Hut dan Uber bagi penggunaan e-Palette. Presiden Qualcomm, Cristiano Amon pula berjanji teknologi rangkaian 5G akan dimasukkan dalam cip pemprosesan telefon pintar paling lewat pada 2019. 

    “Teknologi 5G akan digunakan dalam telefon pintar selewat-lewatnya menjelang 2019 iaitu lebih awal dari jangkaan orang ramai,” katanya. Keupayaan rangkaian 5G ditagih pengguna di dunia dengan peningkatan kelajuan Internet berbanding 4G sekarang.

    Berdasarkan kelajuan 5G, pengguna dijangka berupaya memindah turun filem HD penuh dalam tempoh beberapa saat saja. Kejutan pada sidang media Intel menyaksikan ‘dron’ Volocopter dikhabarkan menjadi helikopter teksi pertama di dunia yang mampu mendarat di depan rumah anda. 

    Bukan dron atau helikopter sebenar, sistem pengangkut dua tempat duduk ini pertama kali diperkenalkan syarikat yang mempunyai 50 pekerja bertempat di Jerman. Ia menggunakan teknologi Intel bagi operasinya yang mampu terbang sehingga 27 kilometer manakala baterinya mampu bertahan 30 minit.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Gaya Hidup Lebih Mudah Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top