Antara yang sering menjadi pilihan adalah teknologi persenyawaan in vitro (IVF) atau rawatan bayi tabung uji. Bagi pasangan suami isteri, Norliyana Hisamuddin, 33, dan Dr Muhmad Foudzi Ahmad, 58, selepas dua tahun berkahwin dan masih belum dikurniakan cahaya mata, mereka mengambil keputusan mendapatkan rawatan IVF.
“Saya dan suami berkahwin pada 2009. Dalam tempoh dua tahun itu kami masih dalam mood bulan madu tetapi pada masa sama mencuba untuk hamil secara semula jadi.
“Tetapi rezeki masih belum berpihak pada kami, yang menyebabkan saya dan suami mengambil keputusan untuk mencuba rawatan kesuburan IVF. Kali pertama kami mencuba di sebuah pusat perubatan swasta tetapi gagal kerana bayi tiada denyutan jantung.
“Saya kemudian membuat IVF kali kedua di pusat kesuburan lain tetapi masih gagal. Kemudian saya pergi ke hospital yang pertama semula bagi meneruskan rawatan sehingga berjaya hamil,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Liyana yang kini hamil empat bulan, dia dan suami tujuh kali melakukan IVF yang menelan kos kira-kira RM150,000. “Doktor menyatakan saya mempunyai masalah dinding rahim nipis sehingga saya dikehendaki membuat ujian Analisis Reseptifan Endometium (ERA).
“ERA adalah ujian bagi mengetahui sama ada lapisan endometrium seseorang wanita itu sesuai untuk implantasi embrio. Ujian ini mungkin sesuai bagi wanita yang mempunyai masalah kegagalan implantasi yang berulang iaitu embrio gagal melekat pada dinding rahim. Biopsi lapisan dinding rahim dan kajian sampel biopsi akan dibuat di makmal.
“Prosedur ini akan dilakukan satu kitaran sebelum pemindahan embrio bagi menentukan bilakah waktu yang sesuai untuk memindahkan embrio ke dalam rahim,” katanya.
Dinding rahim terdiri daripada tiga lapisan iaitu perimetrium, miometrium dan endometrium. Endometrium adalah lapisan dinding rahim yang paling dalam di mana embrio menempel untuk implantasi dan kehamilan terhasil. Menurut Liyana, selepas melalui pelbagai ujian selama hampir enam tahun untuk mendapatkan cahaya mata, dia akhirnya disahkan hamil pada hujung tahun lalu.
“Ketika itu hanya Allah yang tahu bagaimana perasaan saya. Syukur dan sukar diungkapkan dengan kata-kata kerana terlalu gembira dengan berita yang diterima. Kepada yang masih menanti cahaya mata, jangan berputus asa dan banyak berdoa kepada Allah kerana selagi kita masih mempunyai haid, insya-Allah masih berpeluang mendapatkan cahaya mata,” katanya.
Dalam pada itu, Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Pantai Kuala Lumpur Dr Adilah Ahmat menjelaskan, ada tiga faktor utama membuatkan seseorang wanita sukar mendapat cahaya mata iaitu usia, obesiti dan tekanan.
“Jika kita lihat 20 tahun lalu, wanita berkahwin pada usia muda seperti awal awal 20-an. Namun, trend itu berbeza kerana zaman ini ramai yang menamatkan zaman bujang pada usia 30-an. Apabila seseorang wanita meningkat usia, jumlah telur dan kualitinya menurun yang menyebabkan kurangnya peluang untuk hamil,” katanya.
Dr Adilah menambah, tekanan yang berpanjangan akan menyebabkan hormon tertentu dirembeskan ke dalam darah seperti adrenalin, kortisol dan katekolamin.
Hormon berkenaan akan mengganggu pengeluaran hormon GnRH (hormon perembes gonadotrofin) yang berfungsi untuk merembeskan hormon FSH (hormon perangsang folikel) dan LH (hormon peluteinan) yang bertindak ke atas ovari (di dalam wanita) dan testis (di dalam lelaki) untuk pengeluaran hormon estrogen dan adrogen.
“Kedua-dua hormon ini penting untuk fungsi sistem reproduktif yang baik. Ketidakseimbangan hormon boleh mengganggu ovulasi dan syahwat seseorang. Kebanyakan individu yang sentiasa mengalami tekanan tinggi kerap keletihan dan mempunyai gaya hidup yang tidak sihat.
“Selain itu, obesiti memberikan kesan terhadap kesuburan akibat ketidakseimbangan hormon dan masalah ovulasi terutama dalam kalangan wanita obes yang menginginkan anak pertama,” katanya.
Proses IVF:
• Ovari dirangsang menggunakan suntikan hormon untuk menghasilkan telur.
• Telur disedut keluar melalui faraj.
• Suami akan beri sampel air mani yang segar.
• Air mani diproses untuk mendapatkan sperma yang aktif sebelum disenyawakan dengan telur untuk menghasilkan embrio.
• Sekurang-kurangnya dua embrio akan dimasukkan semula ke dalam rahim ibu selepas proses persenyawaan.
Risiko IVF:
• Mengandung bayi kembar bukan seiras.
• Mengalami komplikasi seperti ovari menjadi bengkak kerana terlebih rangsangan (sindrom hiper-rangsangan ovari)
• Mengalami komplikasi seperti kecederaan pada usus, pundi kencing dan pendarahan sewaktu proses mengutip telur.
Punca sukar hamil:
• Terlalu gemuk
• Terlalu kurus
• Menghidap penyakit pada rahim (fibroid, endometriosis)
• Haid tidak teratur
• Faktor usia
Persediaan sebelum menjalani IVF:
• Pastikan kesihatan pada tahap baik
• Turunkan berat badan
• Berhenti merokok
• Berhenti minum minuman beralkohol
• Makan makanan seimbang
• Bersenam
Selepas menjalani IVF:
• Jangan terlalu aktif
• Jangan melakukan kerja berat
Punca IVF gagal:
• Kualiti embrio tidak baik
• Masalah pada lapisan dalam rahim
• Kesan penyakit lain seperti fibroid, adenomiosis
0 comments:
Post a Comment