Bagi mereka yang hanya melihat kepada luaran semata-mata, mungkin mereka akan menganggap, Pakatan Harapan adalah sebuah gabungan parti politik pembangkang yang adil. Malah, mereka pasti akan memandang ketuanya yang dipengerusikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ketua bagi semua parti politik yang ada di dalam Pakatan Harapan.
Namun, bagi mereka yang benar-benar menilai keadaan semasa Pakatan Harapan, mereka pasti menolak tanggapan berkenaan. Manakan tidak, secara amnya, kedudukan parti politik di dalam Pakatan Harapan itu sendiri menggambarkan bahawa, DAP mempunyai kuasa mutlak terhadap kesemua parti politik yang ada di dalam Pakatan Harapan.
Tidak kiralah dari segi apa, DAP adalah "supreme power" yang tidak akan mampu dilawan oleh Mahathir mahupun PAN, PKR dan PPBM itu sendiri. Baik dari segi modal penubuhan dan perjalanan parti sehinggalah membuat dasar-dasar pembangkang, tanpa kebenaran DAP, mana mungkin ketiga-tiga parti lain mampu melawannya.
Benar, hari ini kita lihat Mahathir menguasai pembangkang setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim masih lagi merengkok di dalam penjara. Namun semua itu hanyalah sekadar drama untuk mengaburi mata para penyokong masing-masing. Baik Mahathir mahupun Lim Kit Siang, mereka saling mempergunakan antara satu sama lain bagi meraih apa yang mereka hajati.
Mereka tidak kisah sekiranya mereka menerima kecaman kerana bagi Mahathir mahupun Lim Kit Siang, mereka saling memerlukan antara satu sama lain. Disinilah terletaknya kebijaksanaan DAP dalam meraih seberapa banyak kerusi yang akan mereka tandingi.
Mereka sedar, masih terdapat sentimen menghormati Mahathir di kalangan orang Melayu yang pada kebiasaannya orang Melayu yang radikal. Seandainya DAP mempergunakan sepenuhnya imej Mahathir, pastinya kelompok ini akan menyebelahi mereka dengan hujah, bekas Perdana Menteri sendiri menyokong perjuangan mereka.
Sebelum ini, corak yang sama turut digunapakai DAP pada Pilihan Raya Umum ke 13 yang lalu apabila mereka menjual imej Anwar kepada para penyokong pembangkang. Bukan satu perkara yang mengejutkan andai DAP tetap menggunakan helah yang sama demi mahu meraih sokongan di kalangan pengundi di kerusi Parlimen yang mereka tandingi.
Satu lagi contoh mudah adalah bagaimana DAP dengan sewenang-wenangnya tidak langsung mempedulikan apa jua bantahan dari PKR mahupun PAN. Malah, Lim Guan Eng sendiri pernah menempelak penyokong dan pemimpin PAN yang mempersoalkan pembahagian kerusi Parlimen yang diperolehi parti berkenaan yang dianggap sebagai tidak adil dan berat sebelah.
Bukankah semua situasi ini melambangkan bahawa DAP mempunyai kuasa penuh di dalam Pakatan Harapan untuk menentukan hala tuju parti ini mengikut kemahuan mereka sahaja? Jika beginilah keadaannya, adalah lebih baik, PPBM, PAN dan PKR membubarkan parti mereka dan menyertai DAP secara beramai-ramai.
* Artikel ini diterbitkan pada 18 Januari 2018
0 comments:
Post a Comment