Dalam aksi itu, Danial Amier Norhisham menjadi wira negara apabila meledak gol tunggal pada minit ke-28. Kejayaan membanggakan itu menjadi sejarah baharu dalam arena bola sepak negara apabila berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik Asia buat julung-julung kalinya.
“Saya mempercayai para pemain sejak awal lagi. Saya tidak pernah meragui kemampuan dan mereka telah membuktikan perkara ini. Hari ini (malam tadi) Malaysia telah melakarkan sejarah baharu. Semangat kita kian meningkat untuk melangkah lebih jauh,” ujar Kim Swee.
Dalam aksi itu, skuad kendalian Daniel Teglia tidak mengambil masa lama untuk menguji pintu gol negara apabila sepakan percuma Fahad Al Rashidi tepat mengenai gawang seawal minit ke-2.
Asakan Arab Saudi semakin berganda apabila naib juara Kejuaraan AFC B-23 edisi pertama itu menerusi Abdulelah Alamri tetapi percubaan tepat itu berjaya ditepis penjaga gol negara, Haziq Nadzli pada minit ke-15.
Saat yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba apabila Daniel Amier meledak gol pertama perlawanan apabila pemain tengah itu bijak memanfaatkan hantaran daripada Matthew Davies pada minit ke-28.
Pada babak kedua, malang menimpa skuad kendalian Teglia apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Hamdan Atiah dilayangkan kad merah gara-gara mencakar muka penyerang negara, Safawi Rasid pada masa kecederaan sekali gus keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Sementara itu, juara Kumpulan C, Iraq menepati ramalan selaku pasukan pilihan apabila menewaskan Jordan 1-0 hasil jaringan kapten, Bashar Resan Bonyan pada minit ke-49.
Iraq bakal bertemu naib juara Kumpulan D, manakala Malaysia akan menentang juara kumpulan itu yang dibarisi Australia, Vietnam, Syria dan Korea Selatan bagi aksi suku akhir di venue sama pada 20 Januari ini.
0 comments:
Post a Comment