My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 15 January 2018

    ‘Lawan Patut Tertekan, Bukan Kami’



    Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun ­(B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee (gambar kecil) tidak berminat untuk memberikan reaksi terhadap pujian pengendali Arab Saudi, Daniel Teglia menjelang aksi terakhir Kumpulan C Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di Stadium Kunshan esok. 

    Kelmarin, Teglia menghamburkan pujian atas persembahan pasukan muda negara ketika mengikat Jordan 1-1 di Stadium Changshu, sekali gus meramalkan saingan sengit bakal berlaku esok. Dua slot layak ke suku akhir kembali terbuka dan ditentukan pada perlawanan terakhir selepas pendahulu Kumpulan C, Iraq sekadar seri tanpa jaringan bertemu Arab Saudi.

    Iraq yang tampil sebagai pasukan pilihan untuk layak ke pusingan suku akhir, memiliki kelebihan empat mata, disusuli Jordan dan Arab Saudi berkongsi dua mata, manakala skuad negara hanya sekadar meraih satu mata.

    Namun, kemenangan ke atas Arab Saudi akan mencerahkan peluang skuad bimbingan Kim Swee untuk melepasi peringkat seterusnya tetapi pengendali kelahiran Melaka itu tidak berminat untuk bermain psikologi dengan Teglia dengan mendedahkan Arab Saudi merupakan pasukan pilihan. 

    Lebih tepat, Kim Swee, 47, tanpa berselindung menganggap Arab Saudi sepatutnya tertekan menjelang aksi terakhir Kumpulan C jika dibandingkan dengan pasukan muda negara.

    “Pasukan Arab Saudi tiada banyak perbezaan berbanding Iraq serta Jordan yang mana mereka mempunyai corak permainan pantas dan para pemain memiliki skil individu cukup baik yang boleh memberikan banyak masalah kepada kita.

    “Sudah tentu Arab Saudi merupakan pasukan pilihan. Seperti mana kita tahu, mereka kemungkinan ingin mendapatkan satu mata sahaja untuk layak (ke pu­singan suku akhir AFC B-23). “Pada masa sama, kita perlukan kemenangan untuk membuka laluan semula layak ke pusingan seterusnya.

    “Saya rasa pasti Arab Saudi akan rasa tertekan yang mana mereka perlu mendapatkan keputusan lebih baik daripada kita,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sesi latihan di Changshu semalam.

    Sementara itu, Kim Swee turut mengesahkan tiada pemain yang digantung tetapi beliau dihimpit masalah kecederaan apabila tonggak utama negara, Safawi Rasid mengalami kecederaan.

    Bekas jurulatih Harimau Muda itu hanya memiliki tempoh 24 jam bagi menilai status penyerang Johor Darul Ta’zim itu sebelum sepak mula bertemu naib juara Kejuaraan AFC B-23 edisi pertama tersebut.

    “Tiada pemain yang digantung (tetapi ada masalah) pemain seperti Safawi, Dominic (Tan), Syazwan Andik dan Irfan Zakaria mempunyai sedikit kecederaan tetapi kita akan lihat esok (hari ini) di Kunshan sama ada boleh ber­aksi ataupun tidak,” ujarnya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: ‘Lawan Patut Tertekan, Bukan Kami’ Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top