My Blog List

Translate

  • PANAS

    Sunday 14 January 2018

    Selangkah Cipta Sejarah



    PENYERANG lincah, Akhyar Rashid percaya mereka kini hanya selangkah untuk mencipta sejarah mara ke suku akhir Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun dengan Arab Saudi menjadi halangan terakhir dalam kempen Kumpulan C di Stadium Kushan, Selasa ini. 

    Pemain berusia 18 tahun itu mencuri tumpuan dengan mempamerkan aksi pemain terbaik perlawanan ketika skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee mengikat Jordan 1-1 pada aksi kedua semalam sekali gus menghidupkan peluang mereka merebut salah satu slot ke suku akhir.

    “Saya amat berpuas hati dengan persembahan semalam sebab dapat mengikat Jordan seri satu sama. Semua pemain memberikan aksi 100 peratus dan walaupun kami ketinggalan, kami tak cepat mengalah. Untuk berdepan Arab Saudi, saya harap kami akan bagi yang terbaik, kami ada peluang ke suku akhir jadi kena fokus,” katanya ketika ditemui hari ini.

    Akhyar yang hanya masuk selaku pemain gantian ketika Malaysia tewas 1-4 di tangan juara 2013, Iraq pada perlawanan pertama Rabu lalu membalas kepercayaan Kim Swee apabila mengambil tempat N Thanabalan yang mengalami hamstring dalam kesebelasan utama menentang Jordan. 

    Kelincahan dan kepantasan pemain paling muda di padang itu sukar dibendung pertahanan Jordan hingga dia dikasari untuk Malaysia dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-39 yang disempurnakan oleh Safawi Rasid.

    Malah Akhyar hampir menghadiahkan gol kemenangan buat skuad negara ke atas pasukan yang menduduki tangga ketiga 2013 itu namun percubaannya pada minit ke-66 terkena tiang.

    “Sangat kecewa sebab kalau saya berjaya menyempurnakan peluang itu, kami mendahului 2-1 dan situasi akan jadi lain tapi tak ada rezeki untuk saya dan pasukan,” kata bintang Kedah itu. Akhyar dikeluarkan pada minit ke-80 kerana kecederaan namun dia mengakui tidak terlalu serius dan bersedia untuk beraksi menentang Arab Saudi.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Selangkah Cipta Sejarah Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top