Segala galanya hanyalah sementara sahaja dalam pakatan pembangkang. Jawatan PM sementara, agenda parti sementara, entah entah pakatan pembangkang pun hanya sementara sahaja. Lepas PRU14, entah nama apa pula akan diberi kepada Pakatan Harapan nanti.
Semalam, Malay Mail melaporkan Syed Saddiq, Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), mahu membuka keahlian PPBM kepada semua kaum, dalam masa dua penggal atau 10 tahun. Hasrat Syed Saddiq ini jauh sekali menyimpang dari matlamat ketiga PPBM sebagaimana yang tertulis dalam perlembagaan parti mereka iaitu “mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan hak-hak yang sah untuk semua kaum”.
Ini kerana, pada awal penubuhannya, PPBM memang meniru UMNO dengan asas PPBM kononnya untuk berjuang untuk mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara. Tak sangka rupanya perjuangan berkenaan hanya sementara sahaja.
Dalam satu temubual dengan bersama Radio BFM beberapa hari lalu, Syed Saddiq menyatakan PPBM sudah bersedia untuk menjadi sebuah parti pelbagai bangsa. Buktinya adalah di peringkat pemuda parti, Syed Saddiq sudah lantik ahli bukan bumiputra menjadi exco pemuda parti.
“Parti berasaskan sebuah kaum sahaja tidak akan bertahan lama. Sepertimana saya katakan secara terbuka kepada media dan kepada pemimpin tertinggi parti, saya jangkakan setelah kita mengambil alih Putrajaya, dan melakukan reformasi institusi di seluruh media dan memastikan pendidikan tidak lagi berasaskan kaum, saya rasa dalam tempoh 10 tahun atau dua penggal, BERSATU (PPBM) akan membuka keahlian kepada semua kaum,'' katanya.
Bukan sahaja dalam hal keahlian PPBM, malah pendidikan juga mahu dilakukan `reformasi'. Syed Saddiq menggunakan ayat yang cukup dibenci oleh Mahathir suatu masa lalu, ketika dia menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun. Jadi selama ini penyokong dan ahli parti berkenaan telah ditipu dan diberi harapan palsu iaitu PPBM akan memperjuangkan hak istimewa orang Melayu serta bumiputera.
Rupa-rupanya perjuangan itu hanyalah sementara sahaja. Mesyuarat sayap pemuda pun tidak diadakan. Pergaduhan dalam pemuda PPBM pun gagal dselesaikan, hendak buka ahli PPBM kepada bukan Melayu pula. Nampak sangatlah Syed Saddiq ini gagal, ahli tidak ramai, mesyuarat tidak buat.
Kemudian bila tiada sambutan, mahu buka keahlian kepada bukan Melayu pula. Jelas di sini, semua benda merupakan `sementara' sahaja bagi Pakatan Harapan, khususnya PPBM. Jika pengerusinya adalah Perdana Menteri sementara, kini perlembagaan parti itu juga adalah sementara. Yang kekal adalah perjuangan untuk kepentingan diri sendiri sahaja.
Kalau buka kepada semua kaum, PPBM akan jadi parti seperti PKR. Bersaing pula dengan PKR yang berbilang kaum. PPBM sudah hilang punca dan hilang arah, halatuju parti sudah jadi bercelaru dan lintang pukang. DAP sahaja yang masih kekal konsisten dengan konsep Malaysian Malaysia.
DAP tidak tukar pun prinsipnya terhadap hudud dan Malaysian Malaysia biarpun sudah berkawan dengan Mahathir. PPBM dan Mahathir yang tukar prinsip, anggap DAP kini suci murni dan tidak rasis lagi. Suatu ketika dulu, masa mula mula tubuh PPBM bukan main gah lagi Syed Saddiq dakwa sudah edar habis 200,000 borang keahlian.
Sementara itu, Khairuddin Abu Hassan, orang kanan Mahathir mendakwa ada 6 juta orang akan masuk PPBM. Kini bila sudah setahun lebih ditubuhkan, mana dia ahli yang 6 juta orang itu? 6 juta orang tiada, yang ada hanyalah dinosaour yang tua bangka. Masih belum pupus biarpun tarikhnya sudah “expired” macam roti gardenia.
Sudah ramai lari dan lompat keluar dari PPBM. Mereka yang lompat ini sudah nampak apa agenda sebenar PPBM. Tidak lain dan tidak bukan agenda PPBM adalah semata mata kerana hendak perjuangkan agenda peribadi Mahathir. Agenda untuk jadikan Mukhriz sebagai Perdana Menteri.
Kini Syed Saddiq sudah buka pekung bahawa parti PPBM pun tidak akan tahan lama. Silap silap sebelum Syed Saddiq hendak buka keahlian itu, parti PPBM pun sudah tiada lagi. Kalau kalah besar dalam PRU14, melingkuplah parti PPBM. Hari ini pun sudah ada 400 aduan pasal PPBM terhadap ROS. Tunggu masa sahaja disiasat.
Pelik sungguh parti bunga ini. Boleh mesyuarat agung tanpa perwakilan yang sebenar. Boleh mesyuarat agung tanpa buat mesyuarat cawangan terlebih dahulu. Parti bunga sudah semakin lingkup. Satu persatu kelopaknya sudah gugur jatuh.
Bunga yang disangka wangi itu sudah mengeluarkan bau sebenarnya. Busuknya tidak dapat dilindung lagi. Semuanya hanya sementara, jawatan PM sementara dan agenda PPBM pun sementara sahaja. Jangan terpedayalah dengan agenda bunga.
Beruang Biru
Khamis
18 Januari 2018
0 comments:
Post a Comment