Kenderaan yang sesuai buat sesiapa inginkan kelebihan ruang tanpa berkompromi dengan prestasi terutama jenama talaan dan perlumbaan R-Design oleh Volvo. Sejarahnya, Volvo V90 pernah dikeluarkan sekitar 1997 bagi menggantikan model 960 Estate dan 20 tahun kemudian, V90 kembali dengan rekaan lebih moden bawah platform baru Scalable Product Architecture (SPA).
Berlandaskan platform ini, Volvo menghasilkan jentera dalam bentuk lebih menarik berbanding yang pernah dihasilkan mereka. Antara perbezaan ketara V90 T6 dengan varian T5 adalah kemasan luaran dan dalaman, bumbung panorama selain kapasiti kuasa serta tork lebih tinggi.
Andai dilihat rekaan luaran meskipun berciri wagon, ia direka dengan elemen aerodinamik yang bergaya terutama lampu hadapan dengan nyalaan siang (DRL) berbentuk seakan tukul Thor dan lampu belakang LED. Rekaan jeriji hadapan jejaring hitam berkilau dan bampar belakang R-Design termasuk cermin sisi warna metal menjadikannya tampil sporty.
Rim aloi lima bilah 19 inci dengan potongan berlian sepadan dengan reka bentuk keseluruhan kenderaan sepanjang 4,936 milimeter (mm) ini. Ruang dalaman V90 pula tampil elegan dengan warna hitam dan pakej pencahayaan ruang dalaman terbaik serta bumbung panorama.
RIM aloi bersaiz 19 inci. Antara ciri sentuhan eksklusif dengan logo R-Design ialah stereng tiga bilah dengan kemasan krom, pedal sport dan tombol gear balutan kulit. Sistem hiburan dengan skrin sesentuh Sensus Connect bersaiz sembilan inci dalam kedudukan menegak disekalikan dengan rekaan papan pemuka pelbagai fungsi termasuk Sistem Pengesanan Kedudukan Global (GPS).
Ditambah pula pembesar suara enam saluran, Bluetooth dengan sistem bebas tangan dan saluran USB serta iPod bagi kepuasan pemanduan. TOMBOL gear balutan kulit dengan penghidup enjin unik. Kerusi hadapan boleh dilaras 12 kedudukan secara elektrik dengan sokongan Lumbar, sokongan sisi dan Cushion Extensions untuk keselesaan dan keselamatan.
Kerusi belakang boleh ditinggikan untuk kanak-kanak selain boleh direbahkan untuk kelebihan ruang kargo daripada 560 liter kepada 1,526 liter. Malah, pintu belakang juga dilengkapi sistem elektronik. SISTEM hiburan dan maklumat Sensus Connect bersaiz 9 inci.
Model ini digerakkan enjin 1,969cc Drive-E empat silinder dengan pengecas turbo super berkuasa 320hp pada 1,500 hingga 4,800rpm dan tork sehingga 400Nm pada 2,200 hingga 5,400rpm. Transmisi lapan kelajuan automatik pacuan semua roda (AWD) ternyata bertenaga pada pelbagai kelajuan, malah elemen prestasi dapat dirasai pada kelajuan tinggi terutama ketika berada di lebuh raya.
Meskipun berprestasi, elemen keselesaan turut dibekalkan dengan suspensi hadapan Double Wishbone, Penyerap Kejutan Hidraulik dan Bar Kestabilan untuk diseimbangkan dengan Spring Dedaun Komposit melintang pada gandar belakang.
Ciri keselamatan terbaik antara ciri standard seperti pakej IntelliSafe untuk Keselamatan Bandar Volvo sebagai ciri terkini dengan Brek Kecemasan Automatik (AEB) yang boleh mengesan pejalan kaki, pengayuh basikal dan haiwan.
Bantuan Pilot adalah sistem pemanduan separa automatik bagi mengekalkan kedudukan kenderaan pada kelajuan sekitar 130 kilometer sejam (km/j) dan menetapkan jarak dengan kenderaan hadapan secara automatik.
Selepas memandu uji V90 T6 R-Design, penulis berpendapat model ini sesuai bagi mereka yang mahukan kenderaan bukan SUV atau MPV tetapi mempunyai ruang dan kepuasan pemanduan terbaik.
Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Bantu Parkir Hadapan dan Bantu Parkir Pilot, IntelliSafe, Pengagihan Brek Elektronik (EBD), Bantu Brek Kecemasan (EBA), Kawalan Menuruni Bukit (HDC), Bantu Brek Hidraulik (HBA), Beg Udara Dua Peringkat, Sistem Perlindungan Impak Sisi (SIPS) adalah ciri standard bagi model ini.
Dijual pada harga bermula RM458,888 (tanpa insurans), model ini didatangkan dengan lima pilihan warna iaitu Biru Bursting, Hitam Onyx, Putih Ais, Kelabu Osmium dan Perak Bright. BAHAGIAN tempat duduk belakang dengan bumbung panorama.
VOLVO V90 T6 R-DESIGN
• ENJIN: 1,969cc empat silinder selari dengan pengecas turbo super
• KUASA MAKSIMUM: 320 hp pada 5,700rpm
• TORK MAKSIMUM: 400Nm pada 2,200 hingga 5,400rpm
• TRANSMISI: 8 kelajuan automatik
• KAPASITI BAHAN API: 60 liter
• CIRI KESELAMATAN: ABS, IntelliSafe, EBD, EBA, HDC, HBA, beg udara dua peringkat, SIPS
• HARGA: RM458,888 (atas jalan tanpa insurans)
0 comments:
Post a Comment