Naza Kia Malaysia Sdn Bhd (Naza Kia) melancarkan Kia Picanto serba moden dengan rekaan lebih futuristik dan urban termasuk sarat pelbagai ciri terkini dan moden. Model segmen A ini dikuasakan enjin Kappa 1.2 liter MPI DOHC bersama transmisi automatik empat kelajuan yang menjana kuasa 84PS pada 6,000rpm dan tork 121Nm pada 4,000rpm.
Generasi ketiga Picanto ini dibina dengan asas roda 15 milimeter (mm) lebih panjang berbanding model terdahulu selain jarak kelegaan tanah lebih rendah bagi menambah kestabilan di jalan raya. Bahagian luaran juga diberi nafas baru apabila didatangkan bersama lampu hadapan projektor dan lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu isyarat LED.
Bahagian bampar turut diperkemas dengan rekaan jeriji moden yang menyerlahkan gaya terbaru Picanto. Ruang dalaman hadir dengan material berkualiti dan susun atur papan pemuka lebih premium. Ruang barangan dipertingkatkan sehingga 1,010 liter apabila barisan kerusi penumpang belakang dilipat dengan nisbah 60:40 bagi disesuaikan dengan keperluan pemilik.
Sebagai nilai tambah, Picanto serba baru dilengkapi sistem kemasukan tanpa kunci, butang menghidupkan enjin, lampu isyarat tiga kelipan dengan satu sentuhan, kawalan lampu automatik, Sistem Bantu Parkir Belakang (RPAS) dan cermin sisi elektrik.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Automotif Naza Corporation Holdings Sdn Bhd, Datuk Samson Anand George berkata, pengenalan model Picanto dijangka dapat memacu jualan kenderaan Kia di negara ini. “Bukan sekadar teknologi dan rekaan baru, model ini menjadi ‘trend setter’ dalam kelasnya termasuk penggunaan casis Keluli Berketahanan Tinggi Termaju (AHSS).
“Ini menjadikannya 22 peratus lebih kukuh berbanding model sebelumnya,” katanya ketika pelancaran.
Antara ciri keselamatan lain termasuklah enam beg udara, ISOFIX, tali pinggang keledar belakang ‘pretensioners’, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Kawalan Kestabilan Elekteronik (ESC). Untuk sistem hiburan dan informasi, Picanto dipasangkan skrin sesentuh bersaiz tujuh inci dengan fungsi Apple CarPLay dan Android Auto bersama ciri pengecaman suara.
Model ini dijual pada harga bermula RM49,888 (tanpa insurans) dengan lima tahun waranti tanpa had perbatuan. Untuk pasaran tempatan, lima warna ditawarkan iaitu Pop Orange, Lime Light, Honey Bee, Clear White dan Titanium Silver.
0 comments:
Post a Comment