Sebelum Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika, begitu banyak spekulasi yang sengaja ditimbulkan oleh kemnya hanya semata-mata mahu meraih perhatian dari rakyat Amerika. Pelbagai polisi di cadangkan seandainya dia dilantik sebagai Presiden dan hampir kesemua polisinya mendapat tentangan daripada komuniti penduduk dunia.
Sebagai contoh, rancangannya untuk membina tembok pemisah di sempadan Amerika - Mexico yang mana Trump meminta Mexico menanggung sepenuhnya pembinaan tembok berkenaan. Disamping itu juga, Trump turut mahu mengiktiraf Bailtulmaqdis Timur sebagai milik Israel dan merancang memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis seandainya berkuasa.
Pada asalnya dunia tidak begitu yakin bahawa Trump akan melaksanakan apa yang diperkatakan olehnya semasa tempoh kempen pemilihan Presiden. Namun, dalam tempoh 100 hari pentadbirannya, dia mula menunjukkan belangnya yang sebenar.
Umum mengetahui bahawa Amerika adalah sebuah negara yang menjadi sasaran imigran dari seluruh dunia. Justeru, sebagai langkah permulaan, Trump telah menghalang kemasukan imigran dari Somalia, Sudan, Iran, Iraq, Syria dan Afghanistan dengan pilihan untuk menambah lagi senarai negara yang dilabelkan Trump sebagai pelarian dari negara yang menyokong keganasan.
Tindakannya ini mengundang kritikan dalam dan luar Amerika namun Trump masih kekal bertegas untuk meneruskan polisinya ini walaupun menyedari, langkahnya ini bakal menyebabkan Silicon Valley milik Amerika terjejas secara langsung.
Tidak terhenti di situ, operasi ketenteraanya di Afghanistan, Syria dan beberapa buah negara lain masih kekal walaupun pada awalnya Trump mendakwa, operasi ini hanya menghabiskan wang negara. Malah, lebih teruk lagi, Trump menjadi satu-satunya Presiden Amerika yang begitu berani berkonfrontasi dengan Presiden Korea Utara secara terbuka.
Kebimbangan meletusnya perang di Semenanjung Korea menghiasi dada-dada akhbar di seluruh dunia sehinggalah Pyongyang akhirnya memilih untuk berlembut setelah negara berkenaan di dakwa semakin kehabisan bekalan minyak dan bekalan makanan akibat sekatan antarabangsa yang dianjurkan oleh Amerika.
Apa yang paling diingati sepanjang setahun pentadbiran Trump adalah langkah beliau yang mengotakan janjinya untuk mengiktiraf Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Israel yang baru. Sehingga hari ini, polemik ini masih berterusan dan menariknya, buat pertama kalinya, Amerika disisihkan oleh komuniti dunia walaupun Trump dalam satu kenyataan mengugut negara yang menyokong resolusi PBB berhubung isu ini, disekat dari bantuan kewangan oleh Amerika.
Dalam pengundian yang menuntut Amerika menarik balik pengiktirafan berkenaan, sebanyak 128 buah negara mengundi untuk menyokong dan hanya 36 buah negara yang mengundi menentang resolusi berkenaan. Ianya merupakan satu tamparan hebat buat Amerika yang selama ini begitu gah mendakwa, merekalah polis dunia dan bebas melakukan apa sahaja mengikut kemahuan mereka.
Disebalik semua ketegangan yang mungkin sengaja ditimbulkan oleh pentadbiran Trump, masih terdapat beberapa perkara baik dilaksanakan olehnya. Amerika hari ini disifatkan oleh para pelabur dunia sebagai lebih terbuka di mana peluang perniagaan dibuka seluas-luasnya kepada para pelabur asing.
Cuma, Amerika mengambil sedikit pendekatan yang agak pelik apabila mereka seolah-olah tidak menggalakkan pelabur dari dalam negara berkenaan melabur ke luar negara. Impaknya, ekonomi Amerika kembali agak mengukuh dengan matawang asing dunia seperti Ringgit, turut mengalami pengukuhan yang diluar jangka.
Cuma, sejak Jumaat lalu, Amerika sekali lagi berhadapan dengan krisis bajet buat kali keempat sejak 1990 apabila pusat operasi kerajaan terpaksa ditutup yang mengakibatkan jutaan pekerja di sektor awam, terpaksa mengambil cuti tanpa gaji. Dengan masalah terbaru ini, ianya memberi peluang lebih terbuka buat matawang asing seperti Ringgit, melonjak dengan sendirinya.
Tidak diketahui, sampai bila masalah yang membelenggu Amerika ini akan berlaku namun, jika dinilai dari kebijaksanaan Trump dalam menjalankan urusniaga, krisis ini mampu di selesaikan dalam tempoh kurang dari seminggu, tidak seperti apa yang berlaku terhadap pentadbiran Obama sebelum ini, yang mengambil masa sehingga dua minggu baru dapat dipulihkan.
Setahun sudah berlalu dan banyak warna warni yang dicoretkan oleh Trump sepanjang setahun pertama dari empat tahun pentadbirannya. Penuh dengan kontroversi luar jangka dan meningkatkan pelbagai ancaman pengganas, namun Trump juga berjaya menjana kemajuan ekonomi Amerika yang begitu lembab sejak lebih 5 tahun yang lalu. Inilah Trump dan masih banyak kejutan yang akan dia lakukan dalam tempoh tiga tahun yang akan datang.
0 comments:
Post a Comment