Tidak semua individu bernasib baik memperoleh pekerjaan selepas tamat pengajian, lebih-lebih lagi dalam bidang yang dipelajari. Ada yang terus diterima bekerja namun ada yang masih cuba dan terus mencuba untuk mendapatkan pekerjaan yang serasi dengan diri.
Bukan memilih, namun rezeki masih belum berpihak pada diri menjadikan anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini segera bangkit daripada kekecewaan dengan mencari sesuatu yang mampu menjana pendapatan.
Tidak mahu berdiam diri tanpa berusaha, Ainul Husna Saifudin, 26, buang perasaan malu dan terus memikirkan perkara yang sepatutnya dilakukan demi mencari rezeki halal untuk diri dan keluarga dengan mengusahakan pembuatan kuih bulan.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ini percaya di mana ada usaha di situ ada jalan dan dia memberanikan diri menceburi bidang perniagaan. Mengapa memilih kuih bulan sebagai fokus perniagaan?
Jawapannya mudah. Ainul Husna mengakui, dia antara peminat hidangan tradisional Cina itu tetapi sukar hendak mendapatkan kuih bulan yang halal. Perkara inilah yang memberikan idea kepadanya untuk menjadi pengusaha kuih bulan untuk orang Islam.
“Walaupun memang ada kuih bulan halal di pasaran namun jumlahnya masih kecil dan agak sukar dicari terutama di kawasan tertentu. Disebabkan itulah saya nekad memilih bidang ini.
“Saya tidak mahu duduk diam menunggu peluang kerja yang pada hakikatnya amat sukar untuk diperoleh. Walaupun mempunyai ijazah dalam bidang kejuruteraan, tetapi tidak salah rasanya untuk saya cuba berniaga dan mencipta peluang pekerjaan sendiri.
“Sejak awal lagi saya sedar untuk terbabit dalam dunia perniagaan memerlukan kerajinan dan ketekunan luar biasa, tetapi saya sudah bersedia dan sanggup mencuba.
“Saya juga mahu buktikan golongan muda tidak semuanya malas dan memilih kerja. Berbekalkan pengalaman berniaga dalam bidang fesyen secara sambilan ketika menuntut di universiti, saya kuatkan semangat mengusahakan kuih bulan,” katanya.
Ainul Husna yang menjalankan perniagaan di kediamannya di Nusajaya, Johor Bahru berkata, dia mempelajari resipi menyediakan kuih bulan daripada individu tertentu dan selepas berpuas hati dengan hasilnya, barulah dia berani menerima tempahan.
“Syukur sambutan diterima di luar jangkaan. Ramai pelanggan menyatakan agak sukar untuk mendapatkan kuih bulan yang halal. Ramai juga memberitahu gembira apabila mengetahui ada orang beragama Islam yang membuat dan menjual kuih bulan. Alhamdulillah, disebabkan perkara itu, perniagaan saya semakin hari bertambah baik.
“Saya menjalankan perniagaan ini sepenuh masa bersama suami, El Aidee Ahmad. Dia juga banyak membantu saya menyiapkan tempahan pelanggan menjelang musim perayaan terutamanya ketika Tahun Baru Cina, Aidilfitri dan Festival Kuih Bulan,” katanya.
10 PERISA KUIH BULAN
Menyediakan pilihan 10 jenis perisa kuih bulan antaranya kacang merah, pandan, telur masin dan douyong, Ainul Husna semakin bersemangat hari demi hari dalam menguruskan perniagaannya. Menurutnya, walaupun masih baru dalam bidang itu namun dia gembira kerana usahanya menampakkan hasil dan kuih bulan yang dihasilkannya disukai ramai.
“Kuih bulan perisa kacang merah dan pandan antara yang menerima tempahan paling menggalakkan. Menggunakan resipi tersendiri, saya turut menerima tempahan menyediakan beg cenderahati berisi kuih bulan untuk majlis perkahwinan atau sebarang majlis lain dengan harga jauh lebih rendah iaitu RM2 sebiji untuk 1,000 pek.
“Selain menerima tempahan daripada pelanggan Melayu, saya juga terkejut apabila pelanggan berbangsa lain terutama Cina turut menempah. Ia menunjukkan memang ada pasaran besar untuk kuih bulan yang halal,” katanya.
Tambah Ainul Husna, selepas lebih setahun berkecimpung dalam bidang ini, dia amat bersyukur dan gembira kerana usahanya memilih untuk menjalankan perniagaan adalah satu pilihan tepat. “Saya tidak sangka menerima tempahan sehingga 700 biji kuih bulan dalam satu masa terutama menjelang Tahun Baru Cina dan rezeki ini sangat menggembirakan saya.
“Tidak salah rupanya pilihan saya untuk tidak berdiam diri dan menunggu pekerjaan yang entah bila ada kerana terbukti hasilnya di luar jangkaan,” ujarnya.
Menurutnya, dia juga bersyukur kerana menerima sokongan sepenuhnya daripada suami dan keluarga yang bukan saja memberikan semangat malah turut sama membantunya menyediakan kuih bulan.
0 comments:
Post a Comment