McCarthy, 28, disahkan mengalami patah tulang tibia dan fibula kaki kanannya apabila cuba menghalang rembatan Rondon pada perlawanan yang menyaksikan West Brom serta Everton seri 1-1 dan terpaksa berkongsi satu mata.
Rondon, 29, dilihat sebak dan menangis menyaksikan pemain tengah skuad antarabangsa Republik Ireland itu terpaksa diusung keluar dan dikejarkan ke hospital serta-merta.
Penyerang skuad antarabangsa Venezuela itu mengakui hatinya hancur kerana langsung tidak berniat untuk mencederakan McCarthy yang kini terpaksa mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada baki saingan musim ini bersama Everton.
“Perseteruan dalam bola sepak dilupakan apabila rakan anda (McCarthy) mengalami kecederaan yang serius. Saya memohon maaf kepada McCarthy. Jika situasi itu membolehkan saya menjaringkan gol, saya sanggup memilih untuk tidak menjaringkannya jika ia boleh menyebabkan pihak lawan mengalami kecederaan tragis sebegini.
“Saya berharap McCarthy akan kembali pulih kerana saya mahu melihat dia bermain semula secepat mungkin,” kata Rondon.
Pada perlawanan itu, West Brom terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Jay Rodriguez seawal minit ketujuh sebelum Oumar Niasse menyamakan kedudukan buat Everton pada minit ke-70.
0 comments:
Post a Comment