MENGENALI aktor kesayangan peminat bernama Remy Ishak, jejaka ini memang sukar untuk berkongsi kisah peribadi kepada umum. Cuma apabila tunangnya, Ezza Yusof tiba-tiba didakwa pernah berkahwin serta memiliki seorang anak lelaki seperti mana yang didakwa sebuah portal hiburan baru-baru ini, aktor itu akhirnya tampil bersuara mempertahankan Ezza.
Remy kembali meraih tumpuan khalayak menerusi drama Kekasih Paksa Rela memberitahu, tunangnya yang juga ahli perniagaan bukannya seorang ibu tunggal seperti mana yang didakwa. “Sejujurnya, saya tidak tahu dakwaan mengatakan tunang sudah berkahwin tiba-tiba tular baru-baru ini. Apa yang boleh saya katakan, dia tidak pernah berkahwin.
“Jadi, cerita itu tidak benar sama sekali,” ungkapnya kepada Sensasi Bintang. Baru-baru ini, Ezza menerusi laman Instagramnya menafikan bahawa dirinya pernah mendirikan rumah tangga serta memiliki seorang kanak-kanak lelaki seperti mana dilaporkan oleh portal hiburan berkenaan baru-baru ini.
Sebaliknya, Ezza atau nama sebenarnya Roszaliza Yusof, 35, menjelaskan, kanak-kanak tersebut sebenarnya anak saudaranya. Justeru, Ezza yang juga seorang ahli perniagaan menggesa blog hiburan berkenaan memperbetulkan fakta sebelum timbul sebarang fitnah.
Di sebalik dugaan sepanjang fasa pertunangan sejak Mei tahun lepas, Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 36, juga tidak terburu-buru menetapkan tarikh sebenar perkahwinan. “Saya tidak memiliki jawapan bila akan berkahwin buat masa sekarang. Jika ada jodoh, insya-Allah.
“Segala keputusan berkaitan soal mendirikan rumah tangga terletak di tangan saya, jadi saya tidak terburu-buru berkahwin buat masa sekarang,” jelasnya.
Getus Remy, masih banyak perkara yang belum diselesaikan, selain masih mengumpul duit sebelum berhasrat untuk mendirikan rumah tangga. “Alhamdulillah, tunang juga tidak mendesak dan memahami situasi yang saya alami. Saya tetap dengan keputusan untuk tidak berkahwin dalam masa terdekat,” ujarnya.
Cuma pada masa sama, Remy turut menasihati Ezza supaya tidak memberikan sebarang respons mengenai perhubungan mereka di laman sosial selepas ini. Ini kerana, aktor itu khuatir tunangnya tertekan dengan setiap kritikan netizen.
“Dia bukannya selebriti, tambahan pula kecaman netizen sememangnya tidak terjangkau dek fikiran. Daripada tertekan dengan setiap kecaman netizen, ada baiknya dia sekadar mendiamkan diri dan tidak memberikan apa-apa reaksi. Biar saya seorang saja yang hadapi semua ini, jadi tidak berniat mahu mengongkong atau sebagainya,” ungkapnya seraya menoktah bicara.
0 comments:
Post a Comment