My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 25 January 2018

    Geek Fam Banggakan Negara



    Berpeluang diterbangkan ke Jakarta, Indonesia oleh Acer Malaysia untuk menyaksikan bagaimana kejohanan Dota 2 dianjurkan di sana, penulis akui sambutannya cukup meriah! Kejohanan Asia Pasifik Predator League 2018 itu dianjurkan Acer dan pada minggu lalu, penulis dapat saksikan final yang diadakan di Mall Taman Anggrek, Jakarta, Indonesia. 

    Penyertaan membabitkan 1,197 skuad e-sukan yang bertanding menerusi kelayakan di peringkat Asia Pasifik sejak tiga bulan lalu demi merebut wang tunai AS$150,000. Lapan negara termasuk Malaysia, Indonesia, India, Sri Lanka, Filipina, Thailand, Singapura dan Hong Kong menghimpunkan finalis mereka dalam pusingan kelayakan yang diadakan di negara masing-masing.

    Di pusingan final, pasukan negara, Geek Fam akhirnya muncul juara selepas menewaskan pasukan pilihan dari Indonesia, Boom ID dengan markah 2-1 dalam perlawanan akhir pada Ahad lalu. Mereka membawa pulang wang tunai AS$50,000 berserta lima komputer riba Acer Helios Predator 300.

    Presiden Acer Pan Asia Pasifik, Andrew Hou berkata, pihaknya berbesar hati dengan penganjuran Predator League yang juga kejohanan e-sukan terbesar Acer di Jakarta. “Kami sangat berpuas hati dengan penganjuran kejohanan kali ini. Tahniah kepada Geek Fam dari Malaysia kerana menjadi juara pertama kejohanan Asia Pasifik Predator League.

    “Kemenangan ini akan memberi inspirasi kepada generasi muda di Asia dan kami akan terus beri sokongan untuk menggilap bakat mereka dan mencapai matlamat,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah Urusan Acer Malaysia, Ricky Tan berkata, kemenangan Geek Fam pastinya memberi inspirasi kepada gamer lain di Malaysia untuk mengejar matlamat yang sama.

    “Saya juga percaya komuniti gaming di Malaysia yang merangkumi orang muda sedang berkembang. Oleh itu, Acer akan terus memberi sokongan kepada komuniti ini menerusi produk kami dan juga menyediakan peluang kepada mereka bersaing di peringkat lebih tinggi,” katanya.

    Pemain Geek Fam, Rolen Andrei Gabriel Ong berkata, mereka menyasarkan kejohanan lain iaitu kelayakan Epicenter Major, Februari ini. “Selepas kemenangan ini, kami lebih yakin dengan kebolehan sebagai satu pasukan dan seterusnya menyasarkan kejohanan yang lebih besar,” katanya yang juga dikenali dengan nama pentas Skemberlu.

    Selain itu, penulis berpeluang menemu bual Muhammad ‘Inyourdream’ Rizky Anugrah, pemain tetap Boom ID yang juga bekas pemain Fnatic. Kata Rizky, dia tidak teragak-agak untuk menyertai pasukan antarabangsa bagi melayakkan diri ke The International tahun ini.

    “Keputusan meninggalkan Fnatic dulu membuatkan saya sedikit kesal tapi pada ketika itu tiada pilihan boleh dibuat kerana halangan daripada keluarga.

    “Tapi sekarang saya nekad untuk meneroka peluang lain kerana saya sangat berhasrat untuk melangkah lebih jauh dalam karier ini,” katanya yang menyasarkan kejohanan major dalam tempoh terdekat.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Geek Fam Banggakan Negara Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top